Jaringan pada lewat permainan oleh Brendan Gan menyelamatkan maruah Selangor daripada mengalami kekalahan apabila terikat 1-1 bertemu Sri Pahang pada aksi ketiga Liga Super 2023 yang berlangsung sebentar tadi.

Keputusan seri itu sekali gus masih mengekalkan rekod tanpa kalah buat kedua-dua pasukan dimana Selangor mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Manakala, Sri Pahang yang kini dibimbing legenda Singapura, Fandi Ahmad pula meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor dilihat selesa untuk menguasai bahagian tengah terutamanya pada separuh masa pertama.

Tetapi, penyudah kurang berkesan serta kegagalan untuk menjelmakan peluang terbaik bagi mendapatkan jaringan jelas menghampakan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Ayron Del Valle Rodriguez hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-35 tetapi tandukan pemain import dari Colombia itu dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki minit ke-44, Kpah Sherman pula terlepas peluang untuk mendapatkan jaringan selepas tandukannya dalam kawasan penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Stefano Brundo memberikan kelebihan buat Sri Pahang pada minit ke-74 apabila beliau pantas melakukan percubaan susulan setelah sepakan penalti yang diambilnya ditepis Khairulazhan.

Ketika hujan semakin lebat di Kelana Jaya, Brendan Gan menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru pada minit ke-89 untuk kembali mengikat kedudukan.

Pemain gantian, Yohandry Jose Orozco terlepas peluang untuk menghadiahkan kemenangan buat Selangor tetapi percubaannya daripada jarak jauh hanya singgah di palang gol Sri Pahang untuk kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan.

Dengan keputusan tersebut, Selangor ketika ini memimpin carta liga dengan tujuh mata ketika Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menang pada dua aksi awal masih kekurangan satu perlawanan.

Kedua-dua pasukan itu akan beraksi pada malam esok dimana Sabah akan bertemu Kuching City manakala JDT pula berkunjung ke Seremban untuk menghadapi Negeri Sembilan.