Selangor mendapat tonik berguna menjelang aksi kedua suku akhir TM Piala Malaysia 2022 apabila menundukkan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebentar tadi.

Berbekalkan sorakan padu penyokong di laman sendiri, Selangor beraksi dengan cukup baik sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Ia jelas dibuktikan apabila Hein Htet Aung mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua. Namun, rembatan rendah dalam kawasan penalti dinafikan penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pemain import kelahiran Myanmar itu terus menjadi nadi buat Selangor untuk memburu jaringan dimana larian-larian deras dilakukannya di sebelah kanan pintu gagal lawan sentiasa memberikan masalah buat pertahanan Negeri Sembilan.

Umpanan lintang berkualiti tinggi dilakukan Htet Aung pada minit ke-16 sudah berjaya memperdayakan Syihan Hazmi dan pertahanan Negeri Sembilan tetapi Herlison Caion De Souza Ferreira gagal untuk membaca hantaran tersebut walaupun pintu gol sudah pun ternganga.

Mukhairi Ajmal beraksi cemerlang. Kredit Foto: Selangor FC

Berselang 10 minit kemudian, Caion sekali lagi mensia-siakan hantaran baik dilakukan Htet Aung susulan serangan balas pantas apabila tandukannya sekadar singgah di palang gol.

Syihan terus membuktikan kemampuannya dengan menafikan dua lagi percubaan berbahaya dalam kawasan penalti menerusi tandukan Caion dan rembatan Htet Aung.

Memasuki minit ke-51, Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas Herold Goulon yang kehilangan penguasaan bola melakukan kekasaran terhadap Shahrul Nazeem Zulpakar. Keadaan menjadi lebih sukar buat skuad kendalian K. Devan itu apabila Goulon diperintahkan keluar padang.

Caion yang mengambil sepakan selepas lima minit aksi terhenti susulan insiden kad merah tersebut tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang terhidang meskipun Syihan sudah berjaya membaca arah rembatan pemain import Brazil itu.

Pemain gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau mengukuhkan lagi kedudukan pada masa kecederaan selepas rembatan kaki kirinya tidak mampu dihalang penjaga gol kebangsaan tersebut untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat Selangor.

Ia juga merupakan kemenangan pertama Selangor ke atas Negeri Sembila pada musim ini.