Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan kenapa mereka layak digelar sebagai raja bola sepak Malaysia apabila mudah menewaskan Selangor 4-0 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium MBPJ.

Dalam perlawanan ini, JDT menurunkan barisan terkuat tanpa khidmat penyerang import utama, Bergson Da Silva. Mereka bergantung pada gandingan trio serangan Diogo Luis Santo, Fernando Forestieri dan Arif Aiman.

Sejak minit pertama, skuad kendalian Esteban Solari itu lebih banyak menyerang dan memberi tekanan kepada benteng pertahanan Selangor.

JDT juga memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke 16 namun rembatan kencang Forestieri tersasar. Malah, penjaga gol tuan rumah iaitu Khairul Azhan juga cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada Diogo.

Beberapa minit kemudian, Faisal Halim nyaris mencatat nama sebagai penjaring gol tetapi malangnya, rembatannya hanya singgah ke dakapan penjaga gawang pelawat, Syihan Hazmi.

Kedua-dua pasukan terus buntu dalam mencari jaringan gol pembukaan sekaligus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 0-0.

Kerana bimbang tonggak pertahanan import, Yazan Al Arab mengutip kad kuning kedua, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe melakukan pertukaran pemain di separuh masa kedua dengan memasukkan Khuzaimi Piee.

Percaturan itu ternyata memberi kelebihan kepada JDT apabila mereka berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke 55 selepas Juan Muniz merembat masuk bola hantaran Forestieri yang mudah memperdayakan Shahrul Nazeem dan Khuzaimi.

JDT terus garang menambah gol kedua dan kali ini menerusi rembatan Diogo Luis Santo menewaskan Khairul Azhan pada minit ke 66. Ini adalah jaringan ketiga berturut-turut beliau sejak ketiadaan Bergson.

Selangor cuba bangkit mengatur serangan namun mereka jelas berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan JDT yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

Ketika tuan rumah tercari-cari rentak permainan, Harimau Selatan terus menghukum kelekaan benteng pertahanan apabila menjaringkan gol ketiga menerusi gerakan pantas Arif Aiman sekaligus disudahkan oleh Forestieri pada minit ke 77.

Forestieri sekali lagi menambah derita tuan rumah apabila merembat masuk gol keempat pada minit ke 82 hasil daripada sepakan sudut yang diambil oleh Leandro Velaquez.

Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan memastikan JDT terus gah di takhta liga dengan 15 mata dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 5 perlawanan.