Selangor TOT United yang beraksi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 difahamkan bakal membuat perubahan bagi menghadapi baki kempen liga paling berprestij tanah air itu.

Difahamkan, kelab yang kini berada di kedudukan keempat kumpulan B itu mahu mencari peledak berkualiti untuk merobek gawang lawan.

Melihatkan kepada statistik jaringan, keputusan itu wajar diambil ketua jurulatih, Patt Sriwijit kerana penyudah barisan pemain Selangor TOT United sedikit tumpul walaupun mempamerkan aksi tersusun.

Hal ini kerana selepas mengharungi empat perlawanan, mereka sekadar menjaringkan 12 gol sekali gus menjadi pasukan ketiga terendah dalam mencipta jaringan.

Ia jauh berbeza dengan tiga pasukan lain seperti Selangor MAC (23 gol), Johor Darul Ta’zim dan KL City dengan 21 jaringan serta Shah Alam City (16 gol).

Menurut hantaran yang dibuat di laman sosial rasmi kelab tersebut pada ketika ini mengintai peluang untuk membawa masuk pemain dari Jepun untuk memperkuatkan jentera hadapan.

Meskipun masih lagi berteka-teki dan menunggu masa sesuai untuk mengumumkan kehadiran pemain tersebut, terdapat isyarat yang diberikan dimana terdapat bendera Jepun pada poster dan penggunaan lagu ‘Tokyo Drift’ manakala di Tiktok pula, kelihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pula menjadi lokasi pada hantaran tersebut.

Keadaan itu secara tidak langsung memberikan gambaran jelas bahawa pemain yang ingin dibawa masuk oleh Selangor TOT United adalah pemain dari Jepun.

Dengan keupayaan merekrut pemain import dari Brazil, Helio Neto yang jelas memberikan sumbangan berkesan buat pasukan, tidak hairan kelab ini akan mampu mendapatkan pemain berprofil tinggi untuk memastikan sasaran layak ke separuh akhir MPFL 2023 dapat direalisasikan.

Pemain baharu tersebut akan masuk pada jendela perpindahan kedua nanti dimana aksi pusingan pertama hanya berbaki dua perlawanan sahaja lagi.

Baki dua perlawanan yang bakal dilalui Selangor TOT United adalah bertemu juara bertahan, Selangor MAC dan PFA Odin Sarawak.