Selangor akan berdepan pasukan Pahang dalam perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam malam ini tanpa kelibat beberapa pemain tonggak akibat daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Setelah tewas kepada pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim pada perlawanan minggu lalu, Selangor perlu kembali meraih kemenangan bagi mencerahkan peluang untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kedua.

Taylor Regan
Sumber Gambar: FA Selangor

Pemain pertahanan import, Taylor Regan dan pemain tengah, K.Sarkunan tidak dapat diturunkan kerana menjalani hukuman penggantungan perlawanan. Regan telah mengutip 5 kad kuning setakat ini manakala Sarkunan dilayangkan kad merah ketika perlawanan di Larkin.

Empat lagi pemain iaitu Syazwan Zainon, Halim Saari, Norhakim Isa dan Wan Zack Haikal juga tidak dapat digunakan khidmatnya kerana masih lagi dalam proses pemulihan daripada kecederaan. Syazwan dan Halim mengalami kecederaan ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan manakala Wan Zack pula mengalami kecederaan lutut sebelum saingan Liga Malaysia musim 2019 bermula.

Bagi Pahang pula, mereka ketika ini sedang berada dalam prestasi terbaik setelah membenam pasukan Perak dengan keputusan 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala FA 2019. Ketua jurulatih pasukan, Dollah Saleh dijangka menurunkan barisan terbaik kerana mereka turut mempunyai misi tersendiri iaitu merapatkan jurang dengan JDT.

Berbaki 5 perlawanan, Pahang ketinggalan 13 mata dibelakang Johor Darul Ta’zim dan mereka tidak boleh keciciran mata sekiranya mahu merampas takhta Liga Super.