Selangor FC (SFC) hari ini melancarkan kit ke-3 dan kit edisi khas bagi musim 2021 secara digital di laman sesawang dan semua platform media sosial kelab mereka.

Pelancaran jersi ini adalah pelancaran jersi ketiga musim ini setelah jersi Home dan Away telah dilancarkan pada awal bulan Februari dan Mac yang lalu.

Antara keunikan yang paling ketara dari kedua-dua jersi ini adalah penggunaan logo pertama pasukan bola sepak Selangor yang pernah direkodkan yang mempunyai motif kepala banteng (Bos javanicus) dan dikelilingi oleh corak tangkai padi.

Jersi ini adalah jersi pertama pasukan bolasepak Selangor yang dihasilkan bersama logo berkenaan kerana ia tidak pernah digunakan di dalam edisi jersi-jersi Selangor yang terdahulu.

Berbeza dengan jersi Home yang diilhamkan sebagai tribut untuk skuad 1986 Allahyarham Mokhtar Dahari dan jersi Away yang diinsipirasikan dengan elemen futuristik, konsep jersi ke-3 dan edisi khas ini pula diperkenalkan sempena menyambut ulang tahun ke-85 pasukan Selangor sebagai sebuah pasukan bola sepak di Malaysia.

Hadir dengan warna merah Ferrari sebagai warna utama, jersi ini diinspirasikan oleh rekaan retro jersi-jersi bola sepak lama yang selalunya kelihatan kosong kerana tidak mempunyai sebarang corak, tidak mempamerkan logo-logo penaja dan tidak menggunakan warna-warna yang berlainan.

Bagi menghasilkan rekaan retro yang kelihatan kosong, logo-logo rakan strategik kelab seperti PKNS, Digi, MBI Selangor, ANF dan SugarBomb dicetak menggunakan warna merah bagi memberikan ekspresi ‘red out’ kepada jersi berkenaan. Sungguhpun demikian, warna kuning yang melambangkan kedaulatan tetap diterapkan pada bahagian kolar bagi melengkapkan kombinasi warna tradisi negeri Selangor.

Selain jersi ke-3, SFC juga memperkenalkan jersi edisi khas bagi meraikan ulang tahun ke-85 pasukan Gergasi Merah di dalam kancah bola sepak Malaysia. Antara elemen rekaan paling utama jersi edisi khas ini adalah rekaan selempang diRaja Selangor yang berwarna merah kuning yang menghiasi bahagian hadapan jersi tersebut.

Lebih menarik, jersi edisi khas ini terhad kepada 1936 helai sahaja dan dijual dalam satu set yang turut mengandungi item-item eksklusif seperti beg pakaian, penyangkut baju yang berukirkan logo SFC, pemegang sijil beserta sijil yang mempunyai nombor bersiri unik bagi setiap helai jersi.

E0cWO96VIAQdKqS

Setiap helai jersi ini juga hadir dengan pelekat holografik emas yang mempunyai nombor siri yang sama dengan sijil bagi tujuan pengesahan ketulenan dan nombor siri produk tersebut.

Set nombor 85 yang berwarna emas bersempena ulang tahun ke-85 pasukan juga telah dipadankan di bahagian belakang jersi untuk meningkatkan lagi nilai estetika jersi ini, selain logo ulang tahun 3D yang berwarna emas turut dilekatkan di bahagian belakang leher.

Jersi terbaharu SFC ini kini boleh didapati dan dibeli dilaman web rasmi SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk jersi ketiga dan harga RM299 untuk set eksklusif jersi edisi khas.

Baca artikel lain mengenai pelancaran jersi ketiga pasukan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Sabah Lancar Kit Jersi Ketiga Yang Dikenali Sebagai ‘The Bayu’

Melaka United Lancar Kit Jersi Ketiga Hadapi Baki Saingan Liga Malaysia 2021