Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Selepas saingan musim 2022 menutup tirai, pasukan Selangor dikhabarkan berjaya mendapatkan khidmat tiga pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, tiga pemain yang dimaksukan ialah pemain sayap, Faisal Halim serta dua pemain pertahanan iaitu Ahmad Khuzaimi Piee dan V. Ruventhiran.

Ketiga-tiga pemain sudah lama dikaitkan dengan kelab dari Lembah Klang itu, malah sejak saingan Liga Super tamat dan kemudiannya aksi musim 2022 disambung ke saingan Piala Malaysia.

Faisal sebelum ini beraksi bersama Terengganu dan beliau lebih memilih untuk meninggalkan kelab dari Pantai Timur itu selepas timbul isu antara ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan juga pengurusan pasukan.

Bagi Khuzaimi pula, Selangor berminat untuk mendapatkan pemain itu selepas tampil cemerlang bersama Negeri Sembilan dan juga pasukan kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Asia 2024 di laman sendiri pada Jun lalu.

Selangor
Kredit Foto: FAM

Ruventhiran pula terpaksa mencari kelab baharu selepas Petaling Jaya City mengambil keputusan untuk menarik diri dari saingan musim hadapan dan perkara ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Selangor.

Sejak berada di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, Selangor menampilkan prestasi yang baik dan mereka mahu mengekalkan momentum tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang pengumuman yang dibuat oleh kelab mengenai barisan pemain namun ramai menjangkakan pasukan itu tidak akan membuat rombakan besar-besaran.

Ada beberapa pertukaran yang akan dilakukan seperti bahagian pertahanan dan tengah yang dilihat menjadi masalah terbesar Selangor musim ini.