Badan pentadbir Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) hari ini telah mengumumkan jadual baharu Liga Super bagi musim 2020 yang bakal membuka tirainya bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih pada 28 Februari ini.

Perlawanan Piala Sumbangsih diantara juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang juara Piala FA 2019 iaitu Kedah yang berlangsung di stadium baharu menjadi perlawanan tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, MFL hanya mengesahkan jadual 5 perlawanan awal setelah mengambil kira jadual pertandingan AFC Champions League 2020, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Piala AFF 2020 serta jadual perlawanan skuad kebangsaan mengikut Kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Baki jadual perlawanan yang akan datang diumumkan kemudian setelah mendapat kelulusan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL. Selain daripada itu, tarikh-tarikh undian dan perlawanan Piala FA 2020 turut diambil kira dalam penyediaan jadual Liga Malaysia musim ini.

Berdasarkan jadual tersebut, skuad gergasi merah bakal berdepan tugas yang sukar apabila terlebih dahulu bertandang ke tempat lawan bertemu naib juara Liga Super 2019, Pahang pada 29 Februari 2020 di Stadium Darul Makmur.

80814069_3321526591253142_5196450252479004672_n
FOTO: FA Selangor

Selangor yang berada di tangga ketiga dalam Liga Super 2019 kemudian akan bertemu naib juara Piala FA 2019, Perak pada 7 Mac di tempat sendiri. Selepas itu, satu lagi lawan yang sukar iaitu Terengganu FC akan bertemu mereka pada 11 Mac 2020.

Pada 15 Mac 2020, skuad kendalian B. Satiananthan itu akan bertandang ke Alor Star bertemu Kedah dan kemudian menentang Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Shah Alam pada 4 April 2020.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim depan, pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran untuk beraksi di peringkat Asia pada tahun 2021.

“Persiapan rapi giat dijalankan pada masa ini dan kita juga anjurkan perlawanan pra musim, Selangor Asia Challenge untuk membentuk persefahaman baik antara pemain,” kata Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.

Lagi artikel menarik mengenai Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

FAM Mungkin Akan Tarik Balik Lesen Kelab Yang Berdepan Masalah Tunggakan Gaji

Bakri Ibni Cadang Hanya Pemain Import Berusia Bawah 28 Tahun Sahaja Dibenarkan Beraksi Dalam Liga Malaysia

6 Pasukan Liga Malaysia Yang Mengalami Kejatuhan Paling Teruk Sepanjang Satu Dekad