Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) bakal beraksi di gelanggang yang lebih canggih dengan kapasiti 35,000 penonton apabila Stadium Shah Alam akan  dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek baharu yang bermula tahun depan.

Cadangan Projek pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) telah dibentangkan semalam dan perancangan projek berkenaan di kawasan berkeluasan 80 hektar itu menyaksikan pelbagai kemudahan dibina sekitar stadium merangkumi masjid, pusat komersil, taman permainan, tempat letak kereta dan padang latihan.

Malah, sekitar stadium turut mempunyai kawasan hijau dan trek beriadah sekali gus menjadikan venue terbabit ‘mesra’ orang ramai untuk melakukan aktiviti sihat pada masa akan datang.

Sumber Gambar: Menteri Besar Selangor (Incorporated)

Kawasan itu dibina semula bagi menyelesaikan isu banjir, masalah trafik serta menghubungkan dengan pengangkutan awam seperti LRT.

Selain itu, stadium baharu lebih efisien dengan kos penyelenggaraan minimum. Rekabentuk atap turut dikekalkan manakala binaan lain adalah baharu. Ia juga mempunyai fungsi untuk menjadi stadium tertutup bagi mengendalikan pelbagai acara.

Sumber Gambar: Menteri Besar Selangor (Incorporated)

Walaupun peminat bola sepak tempatan mempersoalkan kapasiti penonton terlalu besar namun kapasiti 35,000 hingga 45,000 dipilih kerana mahu memenuhi syarat ditetapkan oleh Badan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan Badan Bola Sepak Asia (AFC) untuk menganjurkan perlawanan di peringkat antarabangsa.

Jika cadangan pembinaan venue berkenaan diterima dan ia siap dibina dalam tempoh 4 tahun kelak menyaksikan stadium terbabit antara yang tercanggih di negara ini dan Asia Tenggara terutama mempunyai sistem padangnya boleh ditukar mengikut kesesuaian sukan dan aktiviti iaitu yang pertama di Malaysia.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut mengalakkan orang ramai menghantar maklumbalas menerusi emel [email protected]. Menurut beliau, satu pameran awam beserta model reka bentuk ini akan diadakan dalam masa terdekat.

Cadangan ini akan dimuktamadkan setelah mengambil kira faktor kesesuaian serta maklum balas dari rakyat Selangor.