Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan mengesahkan pihaknya telah mengaturkan enam perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain sebelum Liga Malaysia kembali bersambung pada 26 Ogos ini.

Katanya dalam Bernama, dua pasukan Liga Premier dan sebuah pasukan Liga Super dijadualkan menentang gergasi merah selepas tamat tempoh bertenang yang ditetapkan oleh MFL pada 1 Ogos 2020.

“Kita akan beraksi menentang pasukan yang bukan beraksi di Liga Super seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (dari Liga Premier), serta pasukan yang kita dah lawan dalam perlawanan liga musim ini seperti Terengganu.

“Perlawanan persahabatan ini akan berlangsung di tempat sendiri dan lawan,” katanya.

MFL sebelum ini menegaskan kesemua pasukan Liga Malaysia tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 15 sehingga 28 Julai 2020.

Tempoh ini adalah bagi penilaian dan pemantauan simptom COVID-19 bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan.

Satiananthan turut berharap orang ramai dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Janganlah yang memakai ‘pink strap’ (gelang perintah pengawasan) pun boleh pergi minum kopi dan kedai makan. Saya berharap kerajaan terus bertegas. Bagi pemain Selangor, saya sentiasa mengingatkan mereka patuhi SOP dan larang mereka lawat kawasan yang mempunyai ramai orang.

“Ini periuk nasi kita, kita kena jaga. Jangan sampai pemain kena (COVID-19), liga ditangguhkan. Kita kena jaga industri bola sepak kita,” tegasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Selangor melalui pautan dibawah. 

Program ‘Local Giant’ Oleh Selangor FA Berjaya Tarik 45 Penaja SME Bernilai RM700,000 Bagi Musim 2020

Kisah UltraSel Menaja Pasukan Selangor FA Tarik Perhatian Media Sukan Terbesar Di Thailand

Selangor Terpaksa ‘Tumpang’ Beraksi Di Stadium UiTM Dalam Baki Saingan Liga Malaysia