Malang berterusan menimpa skuad muda Indonesia yang tunduk 1-5 ditangan Malaysia malam tadi apabila mereka sah gagal untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023.

Hal ini kerana skuad kendalian Bima Sakti Tukiman itu tidak berada dalam senarai enam pasukan naib juara kumpulan terbaik yang akan turut mengiringi juara kumpulan ke saingan sebenar pada Mei tahun hadapan.

Oleh kerana kumpulan B mempunyai lima pasukan, mata pada pertemuan menentang pasukan ditempat keempat dan kelima tidak dikira bagi mencari naib juara terbaik.

Sehubungan dengan itu, Indonesia sekadar mengumpul tiga mata selepas menundukkan Emiriah Arab Bersatu 3-2 dan tewas ketika menentang Malaysia untuk berada di kedudukan ketujuh.

Perbezaan jaringan nyata menjadi garis pemisah buat Indonesia kerana Laos yang layak selaku pasukan keenam terbaik memiliki -2 (dua jaringan dan empat bolos) dari segi perbezaan jaringan berbanding -3 (empat jaringan dan tujuh bolos) buat skuad ‘Garuda Muda’.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Sudah jelas dan tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa kekalahan dengan jurang besar kepada Malaysia menjadi faktor utama kegagalan Indonesia untuk membuat penampilan ketujuh dalam Piala Asia B-17 selepas melakukannya pada edisi 1986, 1988, 1990, 2008, 2010 dan 2018.

Dengan lengkapnya kesemua aksi kelayakan melibatkan 10 kumpulan, terdapat empat negara menjadi wakil Asia Tenggara (ASEAN) iaitu Malaysia (juara kumpulan B), Vietnam (juara kumpulan F), Thailand (naib juara terbaik kelima) dan Laos (naib juara terbaik keenam)

12 lagi pasukan yang turut layak terdiri daripada Jepun, Tajikistan, Korea Selatan, Australia, India, Iran, Yemen, Afghanistan, Arab Saudi, China, Uzbekistan dan Qatar.

Namun, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) nampaknya masih belum mengumumkan tuan rumah baharu bagi menggantikan Bahrain yang menarik diri.