Penyerang utama PJ City FC, Darren Lok mengakui sebarang kesempatan yang terhidang walaupun hanya satu atau dua peluang, perlu dimanfaatkan oleh beliau dan rakan sepasukan sekiranya mahu mendapat sesuatu pada pertemuan menentang kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hakikat itu diakui Darren berdasarkan pengalamannya sebelum ini dan turut menganggap bukan sesuatu yang mudah untuk mengatasi kekuatan pertahanan JDT.

Apatah lagi skuad kendalian Hector Bidoglio itu masih lagi kebal tanpa sebarang kekalahan sepanjang musim dan baharu sahaja dinobatkan selaku juara Piala FA, minggu lalu.

Justeru, Darren berharap sama ada dia atau rakan sepasukan yang lain perlu mempunyai sentuhan tajam pada hari perlawanan ketika berdepan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

“Semua orang tahu kualiti yang dimiliki JDT dan mereka baharu sahaja lalui perlawanan yang besar pada minggu lalu di Piala FA dan kami tahu memang sukar tetapi kami akan berikan 100 peratus.”

Kredit Foto: PJ City FC

“Sudah tentu kami tidak akan punyai banyak peluang semasa berdepan JDT dan mereka punyai tahap disiplin yang tinggi pada situasi bertahan.”

“Selain itu, mereka sudah pasti akan mengawal sebahagian besar permainan, jadi apa jua peluang yang terhidang sama ada saya atau mana-mana pemain lain, kami kena menyempurnakannya dengan sebaik mungkin,” tambah Darren Lok lagi.

Kubu JDT sememangnya paling sukar ditembusi oleh mana-mana pasukan apabila sekadar bolos lapan gol dari 16 perlawanan setakat ini dan hanya sekali dibolosi sebanyak dua jaringan iaitu semasa berdepan Sri Pahang.

Manakala PJ City, mereka menjadi pasukan paling rendah menjaringkan gol daripada kalangan 12 pasukan Liga Super apabila sekadar merekodkan 16 jaringan dari 17 perlawanan.

Berada di tangga ke-10, satu atau dua lagi kemenangan akan meletakkan PJ City dalam situasi yang hampir pasti untuk layak ke TM Piala Malaysia selain berpeluang memperbaiki atau menyamai kedudukan musim lalu apabila menamatkan cabaran di tempat ke-7.