Jika Malaysia mempunyai pemain naturalisasi kedua iaitu Liridon Krasniqi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut mengambil langkah yang sama apabila penyerang prolifik Al-Wahda dari Argentina, Sebastian Lucas Taglibue diberi taraf kewarganegaraan yang sah untuk memperkuatkan skuad kebangsaan pada Januari lepas.

Pemain yang berusia 35 tahun itu berjaya merekodkan jumlah keseluruhan 146 gol dalam saingan liga dan hanya dipisahkan dengan perbezaan 20 gol sahaja untuk memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Pro UAE.

Beliau juga merupakan penjaring terbanyak Liga Profesional Arab Saudi pada musim 2012/2013 serta penjaring terbanyak Liga Pro UAE dua kali iaitu pada musim 2015/2016 dan 2018/2019.

Tagliabue telah menetap di UAE bersama isteri dan anaknya sejak tahun 2013. Beliau telah memenuhi salah satu peraturan naturalisasi oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) iaitu pemain tersebut telah tinggal selama 5 tahun berturut-turut dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara selepas umur 18 tahun.

Justeru itu, beliau berpeluang membuat penampilan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada bulan Oktober nanti jika mendapat panggilan daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Melalui temubual bersama The National, Tagliabue mengakui teruja dapat pasport UAE buat kali pertama dalam sejarah hidupnya dan tidak sabar beraksi dengan pasukan negara itu.

“Bila saya dapat pasport, ketika itu saya berada dalam kereta dengan anak saya yang baru pulang dari sekolah dan saya beritahu mereka lihat ini.

“Mereka tanya apa itu (Pasport UAE) dan mula bersorak ‘UAE, UAE, UAE’ membuatkan saya rasa cukup gembira,” katanya.

Tagliabue juga akan menggunakan nama ayahnya untuk dipaparkan pada jersi skuad kebangsaan UAE.

“Saya bercakap dengan ayah saya, dia langsung tak percaya. Saya beritahunya: ‘hey, nama akhir ayah akan berada dalam skuad kebangsaan’ dan dia balas, ‘anakku, ini adalah berita yang paling terbaik dalam hidup ayah’.

“Apa yang saya berjaya capai dalam negara yang cantik ini bukan normal bagi pemain asing.  Saya tak pernah impikan perkara ini. Sudah tentu saya ada cita-cita untuk sarung jersi skuad kebangsaan tetapi tidak sangka ia menjadi kenyataan, sukar untuk dipercayai,” tambahnya.

Tan Cheng
Sebastian Lucas Taglibue. FOTO: The National

Dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, UAE berada di kedudukan keempat kumpulan G dengan 6 mata selepas 4 perlawanan. Prestasi mereka ketika dibawah bimbingan Van Marwijk tidak begitu memuaskan apabila tewas kepada dua pasukan Asean, Vietnam dan Thailand.

Malah, kem UAE juga kehilangan jurulatih buat kali kedua selepas pengendali dari Serbia, Ivan Jovanovic dipecat pada minggu lalu walaupun baru dilantik pada bulan disember 2019.

“Sekarang saya kena tunggu panggilan daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan. Saya kini berada dalam keadaan terbaik dan tidak sabar beraksi dengan skuad UAE.

“Saya akui ia memberi sedikit tekanan, ini benda yang serius dan bukan lawak jenaka. Saya betul-betul bersedia untuk mengambil peluang ini. Saya kena buktikan kenapa saya layak diberi pasport UAE,” ujarnya.

Ketika ditanya apa yang membuatkan beliau memilih untuk menyarung jersi UAE tetapi bukan negara kelahirannya iaitu Argentina.

“Saya fikir jaringan gol. Saya mahu sumbangkan apa yang saya telah berikan kepada Al Wahda (sebagai penjaring terbanyak). Ini sebab utama kenapa mereka berikan saya pasport.

“Saya akan cuba bantu UAE. Mereka merupakan pasukan yang berkualiti dan mempunyai ramai pemain yang bagus tetapi kami perlu bekerja keras. Untuk beraksi di Piala Dunia, kita kena jadi pasukan yang lebih baik. Dan saya harap dapat bantu mereka mencapai matlamat itu,” jelasnya.

Selain Sebastian Tagliabue, UAE juga mempunyai dua penyerang tempatan yang sudah membuktikan kemampuan mereka di peringkat antarabangsa iaitu Ahmed Khalil dan penjaring terbanyak Piala Asia 2015, Ali Mabkhout.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak UAE yang dilaporkan sebelum ini.

Belum Sempat Bertemu Malaysia, UAE Pecat Jurulatih Buat Kali Kedua

Bekas Pengendali Boca Junior Antara Tiga Calon Ketua Jurulatih Baharu UAE

Tan Cheng Hoe: Ketiadaan Jurulatih Tidak Jejaskan UAE