Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva kini tersenarai antara 5 pemain yang menjaringkan gol paling banyak di dunia berdasarkan prestasinya dalam Liga Malaysia musim 2022.

Malah, beliau yang menjaringkan 41 gol bersama JDT berada sebaris dengan bintang terkemuka dunia seperti Kylian Mbappe (46 gol), Erling Haaland (42 gol), German Cano (42 gol) dan bintang Barcelona, Robert Lewandowski (40 gol).

Perkembangan itu dilaporkan oleh sebuah portal bola sepak dari Brazil, ‘ge’ yang mempunyai 3 juta pengikut di Instagram (@ge.globo), 6.1 juta di Twitter (@geglobo) dan 8.6 juta di Facebook.

Bergson sememanganya antara penyerang import yang paling berbisa dalam Liga Malaysia setakat ini apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol.

Ini adalah rekod baharu Liga Super mengatasi rekod terdahulu dihasilkan oleh Ifedayo Olesegun dengan 26 jaringan ketika masih bersama Selangor FC pada musim 2021.

Musim lalu, Bergson juga berjaya menyamai rekod lama milik Mohamed Ghaddar sebanyak 23 gol.

29 gol yang dihasilkan oleh Bergson menjadikan beliau telah mengatasi rekod jaringan PJ City, Melaka United, Sarawak United dan Penang FC dalam Liga Super pada musim 2022.

Ini bermakna Bergson kini telah menghasilkan lebih 50 gol secara keseluruhan sejak berhijrah ke JDT dari kelab Brazil, Fortaleza pada 2021.

Beliau juga turut membuktikan ketajaman dalam saingan AFC Champions League (ACL) apabila meledak 6 gol. Semua jaringan itu dihasilkan di peringkat kumpulan  ACL selain empat gol lagi dihasilkan di dalam pertandingan Piala FA.

Rekod itu meletakkan Bergson di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak ACL bersama pemain Urawa Red Diamonds, Yusuke Matsuo. Kedua-duanya berada di bawah pemain bintang Al-Duhail SC, Edmilson Junior yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak ACL 2022 dengan 8 gol.

Mengulas mengenai rekod jaringannya itu, Bergson mengatakan beliau hanya fokus pada tugasnya sebagai penyerang JDT dan tidak terlalu memikirkan tentag pasukan lain.

“Saya tak fikir tentang pemain pasukan lain, saya hanya fikirkan diri saya dan lakukan tugas saya, jadi saya rasa semua orang sudah saksikan apa yang saya dah berikan,” katanya kepada MFL.