Kekecohan yang berlaku dalam kalangan penyokong pasukan Kuala Lumpur dan Selangor di Stadium Cheras semalam telah menyebabkan ada individu yang terpaksa dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

Menurut seorang individu yang menggunakan nama Natera74 di laman sosial Twitter, kesan balingan mercun diperkarangan Stadium Cheras semalam telah menyebabkan anak beliau mengalami kecederaan.

“Sebab mercun tu saya sekarang kat ER kena bawak anak kena mercun yg dibaling. Berlubang belakang peha dia.”

Tidak dapat dipastikan apakah punca kekecohan diantara kedua-dua penyokong itu namun berdasarkan beberapa video yang dimuat naik dilaman sosial oleh peminat bola sepak yang hadir, kelihatan agak ramai juga yang terlibat dalam kejadian itu.

Turut dikatakan bahawa, kekecohan telah bermula didalam stadium lagi dan berlarutan diperkarangan sehingga ada yang membaling mercun bola dengan niat mencederakan.

Ada juga dalam kalangan penyokong yang berada disitu dikalangan wanita serta isteri yang terpaksa ‘berpisah’ dari suami masing-masing untuk menyelamatkan diri dari insiden tersebut.

Insiden sebegini pastinya akan mendapat perhatian MFL dan dijangka akan ada denda atau berkemungkinan juga hukuman beraksi dalam stadium tanpa penyokong kerana gagal mengawal crowd sehingga mencederakan individu yang hadir.