Pasukan Selangor berjaya mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini apabila membenam pasukan Melaka United dengan keputusan 4-3 pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Hang Jebat semalam.

Bekas penyerang skuad bawah 23 tahun negara itu bermula daripada bangku simpanan pada perlawanan semalam dimana ketua jurulatih pasukan, B.Sathianathan meletakkan Amri Yahyah dan Sandro untuk mengetuai jentera serangan serta menurunkan Syazwan Zainon dan Faiz Nasir di bahagian sayap.

Jentera serangan skuad Red Giants tampil dengan cemerlang dimana Selangor mendahului dengan keputusan 2-1 pada rehat separuh masa pertama hasil jaringan daripada Amri.

Akan tetapi, memasuki separuh masa kedua, Melaka tampil lebih garang dimana mereka berjaya mendahului menerusi jaringan Patrick Reichelt dan Darko Markovic.

Terdesak untuk mencari gol penyamaan, Sathia mengeluarkan Syazwan dan memasukkan Sean Selvaraj. Keputusan tersebut nyata berbaloi apabila bekas pemain Negeri Sembilan ini menjaringkan dua gol pada minit-minit terakhir permainan bagi memastikan Selangor meraih kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super.

Dua gol yang dijaringkan oleh Sean sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau sudah bersedia untuk membarisi kesebelasan utama pasukan Selangor.

Setakat lapan perlawanan Liga Super, Sean diletakkan di bangku simpanan dan hanya dimasukkan pada 20 minit terakhir permainan.

Sean Selvaraj boleh diletakkan di bahagian sayap kerana beliau mempunyai kepantasan serta mampu untuk mengawal bola dengan baik.

Selangor akan menerima kunjungan pasukan Perak pada minggu hadapan dan perlawanan itu menjadi medan terbaik untuk Sathia menurunkan Sean dalam kesebelasan utama.