Segala-galanya bagaikan malam penuh keajaiban buat penyerang Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj yang meledak gol kemenangan buat pasukannya bagi membenam Selangor FC, 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Ahad.

Bukan sahaja gol tersebut dihasilkan pada minit-minit terakhir malah lebih istimewa jaringan tersebut antara tercantik sepanjang dalam kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

Malah, Sean yang juga bekas pemain Selangor sebelum ini seakan-akan masih tidak percaya bagaimana dia mampu melepaskan satu rembatan yang sangat menarik dari luar kotak penalti.

“Saya pun tidak tahu apa sebenarnya berlaku dan sampai sekarang saya masih tidak percaya boleh lakukan jaringan sebegitu.”

“Malah saya rasakan ini jaringan tercantik yang pernah lakukan sepanjang bermain bola sepak dan tidak mungkin saya akan lupa walaupun dalam latihan, saya pernah lakukan beberapa kali teknik jaringan sebegitu.”

Kredit Foto: Negeri Sembilan FC

“Selangor sememangnya masih ada di hati saya walaupun terpaksa meninggalkan kelab ini namun menjaringkan gol di sini dengan suasana yang sangat meriah sebegini,memang begitu mengujakan.”

“Terima kasih juga jurulatih yang bagi peluang dan memasukkan saya sebagai penyerang gantian kerana ini memang posisi yang saya sangat selesa.”

“Harap dengan gol ini, nama saya akan kembali diingati apabila sedikit tenggelam pada awal musim selepas jaringan berdepan PJ City, ” katanya.

Sebelum Sean menjaringkan gol kemenangan, Gustavo Almeida terlebih dahulu memadamkan kelebihan dimiliki Selangor menerusi dua jaringan pada minit 66 dan 80.

Sebelum itu di separuh masa pertama, Caion dan Yazan Abu Al-Arab masing-masing meletakkan Selangor, 2-0 di hadapan.

Baca artikel lain mengenai Sean Selvaraj melalui pautan dibawah.

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Liga Super 2022: Sean Selvaraj Pastikan Selangor ‘Layu’ Di Laman Sendiri

Sean Selvaraj Derma Sebahagian Gaji Kepada 14 Keluarga