Hanya Negeri Sembilan berada dalam minda penyerang, Sean Selvaraj selepas jodohnya selama empat tahun bersama Selangor berakhir pada penghujung musim ini.

Pemain yang berasal dari Port Dickson ini gembira kerana dapat berpeluang berbakti dengan negeri kelahirannya selain mahu membantu Negeri Sembilan kembali menjadi pencabar hebat di Liga Malaysia 2022.

Tambahnya, dia amat menghormati Negeri Sembilan yang telah menjadi tempat permulaannya selaku pemain profesional selain berasakan ini waktu yang sesuai membalas jasa mereka.

“Apabila saya ketahui kontrak tidak lagi disambung untuk musim depan, Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang menjadi keutamaan saya. Sememangnya saya sentiasa menghormati Negeri Sembilan,negeri tempat saya berasal malah semasa saya ke Selangor (2018), mereka juga menghormati keputusan saya.

“Tambahan mereka kembali beraksi di Liga Super pada musim depan, saya mahu bantu Negeri Sembilan di Liga Super selain Piala Malaysia. Segalanya tampak sempurna apabila mereka juga menunjukkan minat yang sama dan diharapkan tahun 2022 akan kembali menjadi detik istimewa dalam karier.

“Berdasarkan pengalaman empat tahun di Liga Super dengan pencapaian membantu Selangor meraih tempat ketiga pada 2019, saya harap boleh membantu Negeri Sembilan meraih sesuatu, ” kata Sean Selvaraj.

Eugene pernah beraksi selama dua musim pada 2016 dan 2017 ketika di usia 20 tahun sebelum dipikat Selangor FC yang ketika itu di bawah kendalian P.Maniam.

Selepas lalui beberapa musim yang cemerlang, musim ini dianggap antara detik yang mahu dilupakan oleh Eugene ekoran kurang mendapat peluang untuk diturunkan dalam kebanyakan perlawanan.

Perkara itu juga menjadi motivasi utama buat Eugene yang berazam mahu meraih lebih banyak minit permainan bersama Negeri Sembilan selain mahu kembali bermain sebagai penyerang.

“Musim 2021 adalah tahun yang paling mahu saya lupakan kerana tidak banyak minit permainan diperolehi malah dekat 12 perlawanan saya langsung tidak disenaraikan.

“Saya berdepan masalah kecederaan dan apabila sudah cergas, sukar bagi saya merampas kembali tempat kerana mungkin jurulatih mahu berikan peluang kepada pemain-pemain muda yang begitu menyerlah.

“Jadi dengan Negeri Sembilan saya harap lebih kerap bermain dan dalam masa sama, mahu kembali beraksi selaku penyerang kerana saya lebih selesa sebagai pemain nombor 9 di atas padang.

“Biarpun sebelum ini lebih kerap bertindak selaku pemain sayap semasa di Selangor, saya sebenarnya lebih selesa bermain sebagai penyerang iaitu posisi asal saya semasa bermula serius dalam bola sepak, ” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Zubir Azmi Sedia Terus Galas Tugasan Selaku Kapten Kelantan

RASMI: Kpah Sherman Penggempur Baharu Terengganu FC

Damien Lim Tolak Tawaran PJ City Dan Sri Pahang Kerana Tertarik Dengan Aura Ong Kim Swee