Pemain sayap Selangor, Sean Eugene Selvaraj mendermakan sebahagian gaji beliau kepada 14 keluarga bagi meringankan beban mereka ketika negara dilanda penularan wabak Coronavirus (COVID-19).

Menurut Sean, hatinya tersentuh dengan nasib yang menimpa 14 keluarga tersebut dimana mereka tidak boleh mencari rezeki susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sean Selvaraj
Sumber Gambar: FA Selangor

“Saya bertuah kerana terus menikmati gaji penuh walaupun liga ditangguhkan sedangkan ada orang lain yang menerima gaji harian terputus pendapatan…atas sebab itu saya menawarkan diri membantu.

“Bila saya siarkan di media sosial, ramai tampil memohon bantuan dan setakat ini ada 14 keluarga iaitu lapan di Selangor manakala selebihnya dari Johor, Perak serta Kedah,” kata Sean Selvaraj menurut laporan Selangor Kini.

Tambah Sean, antara penerima bantuan tersebut ialah ibu tunggal yang mempunyai tujuh orang anak serta pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Sean Selvaraj
Sumber Gambar: FA Selangor

“Saya juga mahu menyampaikan mesej bahawa saya tidak melupakan penyokong di saat sukar seperti ini dan berharap mereka juga akan terus memberi sokongan apabila saya serta rakan-rakan kembali beraksi,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Sean Selvaraj mengucapkan terima kasih khususnya kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sentiasa menjaga kebajikan para pemain.

“Mereka terus mencari jalan bagaimana untuk membayar gaji pemain pada waktu tepat walaupun hasil pengurusan mungkin terjejas disebabkan penangguhan Liga Super dan kejohanan lain,” ujarnya.

Anda boleh membaca artikel lain mengenai pasukan Selangor di sini:

Luqman Hakim Tumpu Aksi Bersama Selangor Sebelum Ke Eropah

Rufino Segovia Mahu Akhiri Karier Bersama Selangor

Pemain Selangor Perlu Jaga Berat Badan Jika Tidak Mahu Elaun Dipotong