Bekas penjaga gol Arsenal, David Seaman telah berubah fikiran kerana beliau tidak mahu melihat Cristiano Ronaldo menyertai kelab tersebut seperti disarankannya sebelum ini.

Beliau dalam beberapa minggu lalu mengatakan bahawa Ronaldo merupakan tambahan yang cukup berguna buat Arsenal dalam membantu memantapkan lagi The Gunners.

Namun, semuanya telah berubah selepas gusar sikap yang ditunjukkan pemenang lima kali Balldo d’Or itu akan mempengaruhi suasana harmoni dalam skuad kendalian Mikel Arteta.

“Saya tahu apabila saya pergi ke rancangan Piers Morgan, saya mengatakan Arsenal perlu mendapatkan dia [Cristiano Ronaldo]. Saya tidak fikir saya akan melakukan perkara sama sekarang jika saya jujur.”

“Saya tidak tahu apa yang berlaku dengan sikapnya. Itulah sebabnya saya tidak mahu melihatnya di Arsenal kerana keharmonian di kelab adalah cemerlang,” ujar Seaman bercakap kepada Metro UK.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Ronaldo telah beberapa kali mencetuskan masalah ketika bersama Manchester United apabila beliau bertindak meninggalkan stadium sebelum perlawanan persahabatan bertemu Rayo Vallecano tamat.

Ronaldo kemudiannya enggan bersalaman dengan ten Hag sebaik sahaja aksi liga menentang Brentford tamat dimana mereka tumpas 0-4 pada perlawanan tersebut.

Perkara tersebut kelihatannya diulangi sekali lagi oleh pemain berusia 37 tahun itu apabila beliau dilihat melangkah masuk ke bilik persalinan ketika perlawanan dengan Tottenham Hotspur ketika aksi masih berbaki beberapa minit.

Kemuncak kisah antara Cristiano Ronaldo dan Manchester United ialah kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk berpisah dengan persetujuan bersama pada 23 November lalu menjadikannya beliau kini sebagai ejen bebas.

 

Sumber