Hasrat untuk melihat skuad bawah 22 tahun Malaysia mara lebih jauh dalam Sukan SEA 2023 tidak kesampaian selepas tunduk 1-2 di tangan juara bertahan pada aksi kumpulan B, sebentar tadi.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan perjalanan skuad kendalian E. Elavarasan itu terhenti di peringkat kumpulan meskipun masih berbaki satu perlawanan iaitu bertemu Singapura.

Vietnam tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Nguyen Van Tung menyudahkan percubaan susulan ketika sepakan penalti yang diambil pada mulanya ditepis keluar penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil perlawanan dari Jepun, Jumpei Lida selepas rembatan Minh Trong Vo terkena tangan pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar.

Anak buah Phillipe Troussier itu menambah jaringan pada minit ke-33 sekali lagi menerusi Van Tung hasil tandukan selepas menerima hantaran lintang Trong Vo.

Mohd Aiman Afif Md Afizul mengurangkan defisit jaringan ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan berikutan kesilapan penjaga gol Vietnam, Van Chuan Quan yang gagal menangkap bola dengan kemas sepakan percuma Muhammad Aliff Izwan Yuslan.

Aliff Izwan kemudiannya hampir menyamakan kedudukan berselang seminit kemudian tetapi rembatannya hanya melewati palang gol ketika beliau sudah berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan.

Malang menimpa skuad negara pada lewat permainan apabila pemain gantian, Safwan Mazlan dan Najmudin Akmal Kamal dilayangkan kad merah.

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan tempat ke separuh akhir buat Vietnam manakala Malaysia terpaksa pulang awal.