Skuad hoki padang lelaki Malaysia menepati ramalan apabila berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja selepas menundukkan Singapura 3-0 pada aksi final sebentar tadi.

Kemenangan itu penting untuk dilakarkan barisan pemain muda negara berikutan kegagalan skuad negara mengekalkan dua pingat emas bagi acara dalam dewan tempoh hari.

Meskipun membariskan sebahagian besar pemain muda kecuali empat pemain senior, anak buah Amin Rahim tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan sejak dari awal.

Manakala, Singapura pula bersandarkan kepada serangan balas pantas tetapi jentera pertahanan skuad negara kental bertahan untuk menyerap tekanan lawan.

Selepas aksi suku pertama terikat tanpa jaringan, Amirul Hamizan Azahar meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-16 menerusi satu ‘set piece’ susulan pukulan sudut penalti.

Jaringan itu terhasil pada percubaan pukulan sudut penalti keempat yang diterima skuad negara.

Amirul Hamizan menambah jaringan kedua pada minit ke-38 menerusi pukulan penalti strok yang mudah menewaskan penjaga gol Singapura, Xuan Wee Wei.

Berselang 10 minit kemudian, Alfarico Lance Liau Jr menambah jaringan ketiga menerusi gol padang selepas pukulan kilas dilakukannya membolosi gawang lawan.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan pingat emas menjadi milik skuad Hoki Malaysia sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Manakala, pingat gangsa pula dikongsi Indonesia dan Thailand yang menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga dan keempat.

Ia merupakan pingat emas ke-32 secara keseluruhan buat kontinjen negara (sehingga artikel berita ini ditulis).