Indonesia menamatkan penantian 32 tahun untuk memenangi pingat emas acara bola sepak di Sukan SEA apabila berjaya menundukkan Thailand 5-2 pada aksi final penuh drama di Stadium Olimpik, Kemboja sebentar tadi.

Hampa pada empat edisi perlawanan akhir (1997, 2011, 2013 dan 2019), Indonesia yang dibimbing Indra Sjafri mempamerkan aksi kemas terutamanya pada babak pertama.

Aksi pada 10 minit awal turut memperlihatkan penguasaan skuad Indonesia yang memiliki beberapa peluang terbaik tetapi percubaan Marselino Ferdinan melewati palang gol.

Jaringan yang dinanti-nantikan penyokong Indonesia hadir pada minit ke-21 selepas lontaran jauh dilakukan Alfeandra Dewangga Santosa ditanduk Muhammad Ramadhan Sananta.

Tandukan tersebut kemudiannya membias terkena pertahanan Thailand, Songchai Thongcham lalu bola masuk ke gawangnya sendiri.

Kem Indonesia sekali lagi melonjak kegembiraan pada masa kecederaan babak pertama apabila hantaran jauh pemain pertahanan dikuis masuk Ramadhan Sananta ketika penjaga gol Thailand, Soponwit Rakyart sedikit keluar daripada posisinya.

Memasuki babak kedua, Thailand memperkemaskan aksi bagi merapatkan jurang jaringan dan hampir melakukannya pada minit ke-52.

Bagaimanapun, rembatan Settasit Suvannaseat hasil gerakan menarik dilancarkan berjaya diselamatkan dengan baik penjaga gol, Ernando Ari Sutaryadi.

Kehampaan itu ditebus Thailand pada minit ke-65 selepas tandukan Anan Yodsangwal ketika situasi sepakan penjuru memberikan jaringan buat skuad kendalian Ithsara Sritharo tersebut.

Ferdinan terlepas peluang untuk mematikan terus api perjuangan Thailand pada minit ke-80 setelah sepakan percuma cantik yang diambilnya diselamatkan oleh Soponwit.

Ketika kem Indonesia sudah berkira-kira untuk meraikan kemenangan, sedikit kealpaan telah menghukum mereka dimana Yotsakon Burapha kembali menyamakan kedudukan.

Jaringan itu jelas mencetuskan keadaan huru-hara sehingga menyebabkan pergaduhan ketika pemain Thailand meraikan gol dramatik tersebut.

Indonesia kemudiannya tidak menunggu lama untuk kembali dihadapan pada minit ke-91 apabila Irfan Jauhari mengambil kesempatan di atas kesilapan Songchai yang gagal mengawal bola dengan baik sekali gus membolehkannya melakukan percubaan lambung menewaskan Soponwit.

Keraian pasukan Indonesia pula mengakibatkan pemain Thailand bertindak balas dan sekali lagi pergaduhan tercetus sehingga menyaksikan banyak kad merah dilayangkan kepada salah seorang pemain Indonesia dan Thailand serta turut dilayangkan kepada pegawai kedua-dua pasukan.

Kemudiannya, giliran Jonathan Khemdee pula diperintahkan keluar padang selepas pemain pertahanan Thailand itu menerima kad kuning kedua.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Indonesia untuk menambah jaringan keempat pada minit ke-107 menerusi Muhammad Fajar Fathur Rachman dan Beckham Putra Nugraha (minit ke-120).

Kedudukan 5-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan pingat emas menjadi milik Indonesia yang mana kali terakhir negara tersebut memenanginya (juga menewaskan Thailand) adalah pada edisi 1991 di Filipina.