Skuad badminton lelaki Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir acara berpasukan Sukan SEA 2023 di Kemboja selepas menundukkan juara bertahan, Thailand 3-2 sebentar tadi.

Kemenangan manis yang dilakarkan tu hadir tepat pada masanya bagi mengendurkan ketegangan kritikan para peminat ekoran kekalahan skuad wanita di tangan Filipina tempoh hari.

Skuad negara bermula baik selepas perseorangan pertama mengejutkan pemain ranking ke-34 dunia, Sitthikom Thammasin 21-13, 18-21, 21-10 untuk memberikan mata pertama buat Malaysia.

Pasangan Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe melebarkan kedudukan buat kem negara apabila menundukkan Peerathchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakut juga menerusi aksi yang berlanjutan ke set penentuan 21-16, 14-21, 21-15.

Tersentak dengan dua mata diraih Malaysia, Thailand bangkit dengan kemenangan yang diraih perseorangan kedua, Panitchapon Teeraratsakul ke atas Ong Ken Yon 21-17, 21-15.

Manakala, gandingan Ruttanapak Oupthong-Nanthakarn Yordphaisong pula menundukkan Chia Weijie-Liew Xun dengan ‘straight set’ 21-16, 21-14.

Pemain muda yang merupakan perseorangan badminton ketiga Malaysia, Kok Jing Hong muncul wira buat skuad Malaysia apabila beliau berjaya menyerap tekanan sekali gus menundukkan Saran Jamsri 21-12, 21-13.

Kemenangan itu memastikan pertemuan final yang menemukan Malaysia dengan musuh tradisi, Indonesia.

Indonesia yang menurunkan barisan mantap menundukkan Singapura dalam satu lagi separuh akhir dengan keputusan 3-1 hasil kemenangan Chico  Aura Dwi Wardoyow, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana serta Pramudya Kusumawardana-Yeremia Yacob Rambitan manakala perseorangan kedua, Christian Adinata pula tunduk di tangan Jason Teh Jia Heng.