Perlawanan akhir temasya Sukan SEA 2023 Kemboja antara Indonesia menentang Thailand telah mencipta rekod baharu kejohanan dan ianya bukanlah satu rekod yang boleh dibanggakan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik Morodok Techo itu penuh dengan aksi dramatik dari segi gol dan tak lupa pergaduhan besar yang berlaku selepas Thailand menjaringkan gol penyamaan.

Menurut perkongsian Asean Football, perlawanan semalam mencipta rekod dimana sebanyak tujuh kad merah dilayangkan oleh pengadil, satu untuk pemain Indonesia, tiga untuk pemain Thailand dan tiga lagi dilayangkan terhadap pegawai dari kedua-dua pasukan.

Dalam pergaduhan besar semalam, salah seorang pegawai Indonesia pengsan setelah ditumbuk oleh salah seorang pegawai pasukan lawan dan kejadian ini menjadi viral di laman media sosial sejak semalam.

Kemenangan ke atas Thailand semalam berjaya menamatkan penantian Indonesia selama 32 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan SEA dimana kali terakhir skuad Garuda memenanginya (juga menewaskan Thailand) adalah pada edisi 1991 di Filipina.

Thailand meraih pingat emas manakala juara pada edisi 2019 iaitu Vietnam pula memenangi pingat gangsa setelah menewaskan Myanmar dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.