Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengumumkan Pengarah Teknikal Baharu pada hari rabu ini bagi menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee yang telah letak jawatan pada tahun lalu.

Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung, Mohd Saifuddin Abu Bakar melalui laporan dalam Bernama. 

“InsyaAllah pada 5 hari bulan (Januari) 3 petang (pengumuman dibuat) kerana pegawai berikut sedang menjalani kuarantin, jadi kita tunggu saja penampilannya nanti,” kata Saifuddin kepada Bernama.

Bagaimanapun, timbul khabar angin di media sosial mengenai kehadiran jurulatih dari Australia, Scott O’Donell. Menurut laporan portal dari Singapura, themonitorsg, O’Donell kini berada di Kuala Lumpur dan bakal dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM yang baharu mulai tahun 2022.

Beliau cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak Singapura kerana pernah beraksi bersama kelab Liga-S, Tampines Rovers. Selain itu, pernah menjadi jurulatih Geylang United pada tahun 2003 hingga 2005.

Malah, O’Donell juga merupakan bekas pemain import Kuala Lumpur pada tahun 1994 hingga 1995. Oleh sebab itu, beliau cukup mengenali budaya bola sepak Malaysia dan dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.

Selain menjadi jurulatih Geylang United, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kemboja pada tahun 2005 hingga 2010 sebelum menjadi Pengajar Kejurulatihan Akademi Bola Sepak India (AIFF).

Namun begitu, ketika ditanya oleh wartawan Bernama, Setiausaha Agung FAM enggan mengulas mengenai identiti pengarah teknikal baharu.

“Saya tak boleh nak komen, kena tunggu sampai 5 Jan dan saya pun tak boleh jawab sama ada beliau orang tempatan atau luar,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

FAM: Tan Cheng Hoe Sah Letak Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Dengan Persetujuan Bersama

Norshahrul Idlan Talaha Nafi Sertai TRW Kelantan

Umbro Penaja Rasmi Jersi Terengganu Selama Dua Musim Dengan Nilai Tajaan RM1.8 Juta