Pengendali baharu pasukan Kelantan, Yusri Che Lah menegaskan beliau tiada kuasa magis untuk mengubah nasib pasukan itu setelah menampilkan prestasi mengecewakan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Menurut Yusri, tanggungjawab yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hendaklah dipikul oleh semua pihak termasuk pemain, pengurusan dan penyokong setia pasukan.

“Saya tidak ada kuasa magis. Saya dipanggil untuk membantu pasukan dan seharusnya saya perlu menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin.

“Jadi saya mengharapkan pemain memberikan yang terbaik dalam menaikkan semula pasukan Kelantan dan pada masa yang sama dapat membantu KAFA sendiri memperbaiki kelemahan sedia ada,” kata Yusri menurut laporan Sinar Harian.

Kelantan ketika ini menduduki tangga tercorot Liga Perdana dengan kutipan empat mata. Sebelumnya, mereka dipotong tiga mata kerana gagal mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi membayar tunggakan gaji Alfredo Carlos Gonzales.

Tugas sukar semestinya menanti Yusri kerana beberapa pemain utama terutamanya pemain import telah meninggalkan pasukan.