Berdasarkan prestasi semasa dan kualiti pemain, Sarawak United FC melabelkan Sabah FC sebagai pilihan menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad ini.

Ketua jurulatihnya, B. Satiananthan, melihat kekuatan Sabah sebagai satu perkara yang membimbangkannya dalam usaha Sarawak United meraih kemenangan sulung dalam pentas Liga Super.

Namun, berbekalkan semangat dan komitmen pemain, beliau tetap menaruh harapan agar Sarawak United mampu melakar kejutan dalam pertembungan ‘Borneo Derby’.

“Sabah ada kualiti pemain yang punyai pengalaman bermain di peringkat kebangsaan malah mereka sedang lalui prestasi terbaik dalam dua perlawanan lalu.

“Malah dengan kehadiran pemain seperti Amri Yahyah serta sebahagian besar pemain yang pernah bekerja dengan Datuk Ong Kim Swee, saya memang nampak Sabah ada kualiti tersendiri di Liga Super.

“Banding dengan Sarawak, kami baru kembali ke Liga Super pada musim ini malah sebahagian besar pemain kami hanya ada pengalaman di Liga Premier.

“Bagaimanapun, berbekalkan semangat serta kerja keras dari pemain, saya rasa kami boleh mengejutkan sesiapa termasuk Sabah sahaja jika berada di hari terbaik.

“Dari tiga perlawanan lalu, saya berpuas hati dengan komitmen pemain yang telah beri sedaya upaya serta corak permainan menghiburkan dan apa yang kena kami perbaiki adalah melunaskan peluang yang terhidang,” katanya kepada MFL.

Selepas tewas dalam dua perlawanan awal, Sarawak berjaya meraih mata pertama pada perlawanan ketiga Liga Super selepas bangkit untuk mengikat Penang FC, 1-1 .

Naib juara Liga Premier musim lalu itu mengekalkan sebahagian besar pemain dari musim lain dengan membawa beberapa sahaja pemain baharu seperti Francis Kone, Gonzalo Soto, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Boris Kok dan Raja Imran Shah Raja Amin.

Berdepan Sabah, Sarawak United terus terpaksa melupakan khidmat tiga pemain berpengalaman terdiri daripada Amer Saidin, Christie Jayaseelan dan S. Chanthuru yang belum cergas sepenuhnya.

Satianathan dalam masa sama menegaskan matlamat Sarawak pada musim ini ialah untuk kekal dalam Liga Super dan beliau sama sekali tidak gusar dengan prestasi semasa pasukan di awal musim.

“Sarawak akan fokus dari satu ke satu perlawanan dan seperti mana saya katakan di awal musim, sasaran utama kami mahu kekal di Liga Super.

“Saya berbangga dapat memberikan ruang kepada pemain-pemain muda Sarawak seperti Norman Angkun yang telah diberikan ruang untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

FAM Mengaku Pengadil Buat Kesilapan Batalkan Jaringan Sri Pahang

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan

Masalah Tunggakan Gaji Ganggu Fokus Melaka United Dalam Saingan Liga Super

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19