Hasrat skuad Gergasi Merah untuk mengutip 3 mata penuh dalam saingan CIMB Liga Super 2020 tidak menjadi kenyataan apabila mereka terikat tanpa jaringan dengan Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.

Dalam perlawanan itu, penyerang import Sepanyol, Rufino Segovia kembali beraksi bersama Selangor setelah direhatkan sejak bulan Mei tahun lepas kerana kecederaan di bahagian tumit.

Bagaimanapun, Selangor tetap buntu mencari jaringan pertama walaupun mereka banyak mengasak ke kubu lawan namun pujian harus diberikan barisan benteng PJ City apabila berjaya mengekang setiap percubaan ke gawang.

Ketua jurulatih Selangor, B. Satinanthan mengakui jentera serangan mereka belum cukup tajam walaupun beliau memasukkan bekas penyerang skuad kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor dan penyerang import Nigeria, Ifedayo Olusegun di separuh masa kedua.

“Ya, 2 mata hilang. Kami ada peluang tetapi kami tidak manfaatkan peluang itu. Mereka bermain dengan sangat “deep”. Anda tahu ianya susah, mereka bermain bertahan dengan sangat baik.

“Mereka juga bermain ikut kekuatan sendiri tetapi kami tidak cukup tajam dalam kotak penalti dan apabila kami ada peluang, kami membazirkan peluang itu,” kata Satiananthan dalam temu bual selepas perlawanan tersebut.

Keputusan tanpa jarinan itu turut menyaksikan Selangor kini berada di kedudukan ke 8 liga dengan 6 mata manakala PJ City di kedudukan ke 10. Tinggal 6 lagi baki perlawanan yang perlu diharungi untuk menamatkan saingan musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

CIMB Liga Super: Pahang Hampir Ikat JDT Di Stadium Darul Makmur

2 Perlawanan, 6 Gol Tanpa Bolos, Nafuzi Zain Akui Cabaran Getir 2 Perlawanan Akan Datang.

Kerteh FC Jana Hampir RM55,000 Hasil Jualan 1,078 Helai Jersi Pasukan Dalam Tempoh 7 Bulan Sahaja