Meskipun kerajaan belum beri kebenaran rasmi kepada badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) untuk meneruskan saingan Liga Malaysia pada bulan September ini, namun skuad Selangor sudah pun mempunyai perancangan untuk memulakan sesi latihan pada bulan depan.

Perkembangan itu diakui oleh pengendali pasukan itu, B. Satiananthan dalam laporan Berita Harian, menjelaskan program latihan tersebut akan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19.

Setiap pemain akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka perlu sentiasa amalkan penjarakan sosial serta tidak boleh bercakap dengan rapat bersama rakan sepasukan.

“Setiap kumpulan mungkin akan membabitkan 10 orang saja. Kita sudah maklumkan kepada pemain mengenai bentuk program, latihan dan sebagainya.

“Kita akan mula dalam seminggu tiga atau empat kali (latihan). Bila masuk Julai kita buat lebih sedikit, maknanya jika diputuskan liga boleh diteruskan (disambung semula) seperti biasa, pemain sudah ada latihan.

“Saya sudah bincang dengan pengurusan. Pusat latihan kita ada dua padang, jadi kita boleh gunakan kawasan yang luas. Bukan saja satu meter (penjarakan sosial), tiga meter pun boleh.

“Kita akan ikut semua SOP yang ditetapkan termasuk menggunakan ‘hand sanitizer’, pemain tidak bergaul rapat, mengamalkan penjarakan sosial dan sebagainya. Kita juga ada satu pasukan perubatan dan mereka yang akan buat SOP untuk mengawal program ini,” katanya dalam Berita Harian. 

Sathia Selangor
Sumber Gambar: Football Tribe

Mengikut perancangan MFL, semua pasukan akan memulakan sesi latihan pada Ogos 2020 mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM berdasarkan arahan MKN, KKM dan KBS serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Jika Liga Malaysia dibenarkan bersambung, setiap perlawanan akan diadakan tanpa kehadiran penonton. Selain itu, tiada tempoh perpindahan pemain dibuka pada pertengahan Liga Malaysia 2020 jika saingan bermula pada September.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia 2020 yang dilaporkan sebelum ini melalui pautan dibawah.

SOP Baharu Liga Malaysia 2020 Akan Diumumkan Pada Bulan Depan

JDT, Pahang Dan Kedah Ke Asia Tahun Depan Jika Saingan Liga Malaysia 2020 Dibatalkan

TERKINI: MFL Rancang Untuk Meneruskan Saingan Liga Malaysia Pada Bulan September