Badan pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan pindaan jadual Liga Premier 2021 susulan permohonan pertukaran venue oleh Sarawak United FC yang telah diluluskan menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Menurut kenyataan rasmi, Sarawak United FC yang sebelum ini mendaftarkan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai venue tuan rumah mereka telah memohon untuk bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka dan telah dipersetujui oleh Melaka United FC dan Perbadanan Stadium Melaka.

“MFL telah meminda perlawanan Liga Premier 2021 bilangan 2 melibatkan Sarawak United FC menentang Kelantan United FC pada Sabtu, 6 Mac 2021 kepada Ahad, 7 Mac 2021 di Stadium Hang Jebat, jam 9 malam.

“Pindaan ini dibuat kerana pada tarikh tersebut Stadium Hang Jebat digunakan bagi perlawanan Liga Super 2021 bilangan 5 di antara Melaka United FC melawan Sabah FC jam 9 malam.

“Pindaan seterusnya melibatkan perlawanan Liga Premier bilangan 8 di antara Perak FC II melawan Sarawak United FC yang sepatutnya dimainkan pada Selasa 9 Mac 2021 dipinda pada Rabu 10 Mac 2021.

“Pindaan ini dibuat kerana tempoh waktu rehat antara perlawanan bagi Sarawak United FC berkurangan akibat pindaan perlawanan bilangan 2,” kata kenyataan rasmi.

Aksi Sarawak United FC menentang Terengganu FC II bagi perlawanan Liga Premier 2021 bilangan 22 yang sepatutnya dimainkan pada Sabtu, 20 Mac 2021 dipinda pada Ahad, 21 Mac 2021 jam 9 malam.

Perubahan ini dibuat kerana pada tarikh tersebut Stadium Hang Jebat digunakan bagi perlawanan Liga Super 2021 bilangan 27 di antara Melaka United FC melawan Kuala Lumpur United FC.

Pertukaran venue ini juga terpaksa diambil kerana arahan kerajaan negeri yang menuntut setiap individu yang tiba di Sarawak menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari dan situasi itu memberikan kesukaran kepada pasukan lawan untuk menghadapi perlawanan Liga Premier.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Sarawak United melalui pautan dibawah.

Sarawak United Perkenalkan Logo Baharu Berkonsep Perisai Dayak Dan Elemen Kebudayaan Negeri

Sarawak United Pertaruhkan Nama Besar Hadapi Saingan Liga Malaysia 2021