TM Piala Malaysia kini menjadi fokus utama buat Sarawak United FC selepas usaha mereka untuk merangkul kejuaraan Liga Premier terkandas di penghujung saingan.

Menurut pemain sayap Sarawak United FC, S. Chanthuru dia dan rakan-rakan mahu segera melupakan kekecewaan itu dengan segera memberikan fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September ini.

Sarawak United FC bakal berada dalam Kumpulan A bersama Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Bandaraya berdepan Penang FC pada 26 September ini.

“Kami berada terbaik sejak perlawanan pertama liga dan sentiasa meraih kemenangan tetapi pada tiga perlawanan terakhir ini, kami seperti hilang fokus.

“Pemain-pemain telah mencuba sedaya upaya dengan berikan lebih 100 peratus cuma nasib jelas tidak menyebelahi kami namun apa yang penting kami telah berada di Liga Super, musim depan.

“Sarawak akan cuba berikan cabaran di TM Piala Malaysia dan saya rasa kami boleh bersaing dengan pasukan-pasukan dalam kumpulan kami yang terdiri dari semua pasukan Liga Super.

“Jika dilihat kepada kualiti pemain dalam pasukan, tahap kami sememangnya sama dengan pasukan Liga Super dan Sarawak akan cuba letakkan sasaran untuk layak sejauh mana yang boleh,” katanya kepada MFL.

Kegagalan meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir menjadi punca di sebalik kekecewaan Sarawak United yang terpaksa merelakan Negeri Sembilan FC bergelar juara Liga Premier 2021.

Mengulas mengenai saingan Piala Malaysia, ketua pasukan Sarawak United, Taylor Regan, menyifatkan mereka berada dalam kumpulan ‘maut’ kerana bakal berdepan 3 lawan yang lebih kuat daripada pasukan Liga Premier.

“Kami sememangnya berada dalam kumpulan yang sukar kerana Penang FC menjadi antara pasukan terbaik di Liga Super sementara Kuala Lumpur punyai sebuah skuad yang berkualiti sementara Sri Pahang, pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dalam saingan Piala Malaysia.

“Cuma bezanya kami tidak ada tekanan berbanding di Liga Premier kerana kami dituntut mendapatkan kemenangan dalam tiap perlawanan tetapi di Piala Malaysia, kami tidak akan rasainya dan ini mungkin berikan sedikit kelegaan buat pemain untuk beraksi lebih baik, ” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Sri Pahang Rancang Bina Pusat Latihan Lengkap

Kuching City Dan TRW Kelantan Tempah Tiket Ke Piala Malaysia 2021

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar