Kelab Bola Sepak Sarawak United terus mengukuhkan kedudukan di tahkta Liga Premier 2021 apabila mereka menewaskan pasukan jiran, Kuching City, 2-0 di Stadium Hang Jebat semalam.

Lebih menarik, mereka bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah tetapi turut mengekalkan rekod tanpa bolos selepas mengharungi 3 perlawanan.

Pengendali pasukan itu, E. Elavarasan menghamburkan pujian kepada barisan benteng pertahanan yang dikawal oleh bekas pemain import Selangor, Taylor Regan sambil dibantu oleh bekas penjaga gol Pahang, Sharbinee Allawee.

“Saya rasa selepas melalui dua perlawanan, perlawanan ini antara ujian terbaik kepada barisan pertahanan kerana lawan mempunyai dua pemain import di bahagian serangan.

“Jadi, saya dapat lihat sejauh mana keupayaan barisan pertahanan dan Regan dapat memainkan peranan penting bagi kemudi barisan pertahanan.

“Saya juga memuji Sharbinee Allawee kerana cemerlang mengawal gawang dan rekod tanpa bolos selepas tiga perlawanan sememangnya penting dalam meningkatkan keyakinan pemain,” katanya.

Beliau juga mengharapkan pemain-pemainnya akan mengekalkan rentak konsisten. Elavarasan mengakui perjalanan masih jauh dan situasi bagi setiap perlawanan pasti berbeza.

“Setiap perlawanan tidak sama dan saya mahu pemain cuba sedaya upaya untuk terus konsisten.

“Ini merupakan tiga mata yang penting kerana pertemuan ‘derby’ sememangnya sukar buat mana-mana pasukan.

“Cuma jaringan awal pada permulaan dan penghujung babak pertama telah membantu pasukan untuk memenangi perlawanan walaupun Kuching menguasai sebahagian besar permainan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, penyerang import, Uche Agba, membuka tirai jaringan pada minit-9 melalui tandukan selepas menerima umpanan daripada Christie Jayaseelan.

Gol kedua Sarawak menerusi cubaan Stuart Wark pada minit-45 apabila bola rembatannya mengenai tiang dan penjaga gol, Iqbal Suhimi sebelum bola masuk ke dalam gawang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Jumlah Tontonan Liga Super Malaysia LS3 Lebih 3 Juta, 2 Minggu Berturut-Turut Rekodkan Purata Lebih Setengah Juta

Pengadil Gagal Kesan Simulasi Pemain PJ City Digantung 2 Minggu, 3 Pemain Dirujuk Ke Jawatankuasa Tatatertib FAM

Statistik Ringkas Perlawanan Kedua Liga Super 2021

Aksi Bertenaga Izreen Izwandy Dapat Pujian Bojan Hodak

Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian