Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor tidak berdiam diri atas kata-kata dilemparkan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) terhadapnya kelmarin.

Seperti dilaporkan semalam, TMJ meminta supaya pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar supaya memberikan nasihat kepada Sanusi yang disifatkannya sebagai seorang pemecah belah dalam kalangan peminat bola sepak Kedah dan Johor.

Malah, Sanusi turut diminta supaya membawa imej sebagai seorang Menteri Besar dan kemudianya telah diibaratkan sebagai ‘Badut’.

Ia sebagai kenyataan tindak balas selepas Sanusi mempertikaikan jaringan dihasilkan oleh Bergson da Silva serta sepakan penalti yang diperolehi JDT pada aksi liga menemukan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, Alor Setar minggu lalu.

Tidak mahu hanya berdiam diri, Sanusi tampil dengan menyangkal tuduhan tersebut dan sebaliknya mengakui bahawa beliau sebenarnya bertindak dalam menyatukan peminat bola sepak.

“Pemilik kelab JDT ini [merujuk kepada TMJ], kita tak boleh orang kata apa dekat dia, kalau dia kata dekat kita apa pun tak mengapa,” ujar Sanusi menurut sumber video Astro Awani.

“Kalau orang kata dia lanun bola sepak, apa dia rasa? Dia kata saya badut, ‘clown’, pemecah bola sepak. Kalau saya nak kata anda lanun bola sepak, dia nak jawab apa. Soalan, apa perasan ‘u’ kalau ‘i’ kata ‘u’ lanun bola sepak? ”

“Saya menyatukan peminat bola sepak. Dalam satu kesatuan bola sepak untuk orang ramai. Padang yang sama luas, pemain yang sama banyak, pintu gol yang sama saiz, pemain yang sama ramai.”

“Biasanya pemain yang tak sama ramai ini pengadil masuk ke sebelah ‘tu’ [merujuk kepada pasukan lawan], saya nak pemain sama ramai, pengadil duduk dekat tengah,” tambah Sanusi lagi.

Ketika pada mulanya ‘troll’ melibatkan Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi dan TMJ dilihat sebagai satu gurauan bagi memeriahkan lagi kancah bola sepak tempatan, tetapi kali ini ia kelihatan seperti kian berpanjangan.