Beberapa hari lepas, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan akan letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk memberi laluan kepada tokoh yang lebih layak.

Hasrat beliau itu menjadi kenyataan apabila disahkan telah menyerahkan surat rasmi peletakan jawatan berkuat kuasa pada 15 Oktober ini.

Difahamkan, peletakan jawatanya itu mempunyai kaitan dengan isu tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan sehingga kini.

Menurut laporan daripada Astro Awani, tempoh masa sehingga tarikh berkenaan akan digunakan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap kemelut kewangan yang dihadapi persatuan berkenaan termasuk tunggakan gaji yang dianggarkan berjumlah RM14 juta.

Bagaimanapun, beliau tetap akan memohon untuk berundur jika keputusan peletakan jawatannya tidak diterima dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA.

“Saya sudah hantar surat. Hasrat saya meletak jawatan sebagai Presiden KFA berkuatkuasa 15 Oktober kerana saya letak sasaran akhir untuk selesaikan semua hutang hutang KFA yang lama.

“Dulu saya sebut RM10.6 juta sebenarnya bila korek balik hampir mencecah RM14 juta dan saya telah cari penaja, saya cari rakan-rakan yang sudi untuk membantu KFA selesaikan masalah ini.

“Menjelang 15 Oktober saya sasar semua (masalah) ini dapat diselesaikan dan tugas (Presiden KFA) saya boleh serah kepada orang yang lebih layak,” katanya dalam Astro Awani.

Pengurusan KFA sebelum ini dikritik hebat oleh peminat setelah menggunakan logo dan nama baharu pasukan yang dianggap ala kadar dan tidak melambangkan jati diri pasukan itu.

Naib Presiden KFA, Radhi Mat Din turut mengesahkan Sanusi sememangnya mahu letak jawatan dan berharap menteri besar Kedah itu dapat mempertimbangkan semula hasrat itu.

Baca artikel lain mengenai kontroversi yang melibatkan pasukan Kedah seperti dilaporkan sebelum ini:

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat

Kenyataan ‘Ikut Dan’ Presiden KFA Cetus Kecaman Penyokong Kedah, Aidil Sharin Akan Sertai Perak?

KFA Sedia Untuk Berunding Jika Ada Pihak Mahu Beli Pasukan Kedah