Baru-baru ini Menteri Besar Kedah dan juga Presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat satu perkongsian video berdurasi 22 saat di laman sosial Facebook miliknya memaparkan beliau sedang menyarung jersi pasukan Terengganu FC dengan kapsyen ‘kasi panas, auto taff’.

Tindakan beliau sekadar menghangatkan suasana menjelang perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara Terengganu menentang JDT di Stadium Nasional Buki Jalil pada malam esok.

Bercakap kepada para media semalam, Sanusi tanpa berselindung mengakui menyokong skuad penyu untuk perlawanan tersebut kerana isterinya berasal dari Terengganu.

“Sudah tentu Terengganu. Sebab saya sokong Terengganu (adalah) isteri saya orang Terengganu, buat masa ini saya belum kahwin dengan orang Johor lagi.

“(Kalau Terengganu FC kalah) saya terima dengan berlapang dada, biasanya orang macam saya sentiasa menyokong pasukan yang dilihat ‘underdog’ dan (saya yakin) semua sokongan rakyat Malaysia akan pergi kepada Terengganu, kalau tak percaya, tunggu lah,” kata Sanusi.

80,000 penyokong dijangka akan menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengikut perancangan awal, MFL ingin mengadakan aksi final itu pada 27 Ogos 2022 namun dengan mengambil kira penglibatan JDT di pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 bertemu kelab Jepun, Urawa Reds bagi pusingan 16 pasukan terbaik pada 19 Ogos 2022 maka perubahan tarikh terpaksa dilakukan.

Selepas enam musim tidak membawa pulang Piala FA ke bumi Johor, JDT akan menurunkan barisan terbaik untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Keghairahan penyokong Terengganu juga jelas semakin tinggi ekoran sudah 11 tahun mereka tidak pernah memenangi trofi Piala FA dengan kali terakhir pada musim 2011.

Para pemerhati bola sepak tempatan meramalkan perlawanan tersebut akan berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan ini mempunyai kualiti tersendiri di bahagian serangan dan pertahanan.