Beberapa hari lepas, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) secara rasmi telah melengkapkan proses penswastaan Kelab Bolasepak (FC) bagi melayakkan untuk beraksi dalam Liga Malaysia tahun hadapan.

Bagaimanapun, Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor melalui satu kenyataan di laman facebook memberi bayangan akan letak jawatan untuk memberi laluan kepada tokoh yang lebih layak untuk memajukan sukan bola sepak Kedah.

Sanusi turut berkata, beliau akan terus menyokong pembangunan bola sepak negeri dan menjadi penyokong setia skuad Hijau Kuning.

“Selepas selesaikan semua hutang-piutang KFA tinggalan pengurusan sebelum ini, saya bercadang untuk menyerahkan urusan bola sepak kepada mereka yang lebih layak memikulnya.

“Ada ramai tokoh yang lebih layak untuk urusan ini. Saya akan kekal sebagai penyokong setia Hijau Kuning,” katanya.

Pengurusan KFA sebelum ini dikritik hebat oleh peminat setelah menggunakan logo dan nama baharu pasukan yang dianggap ala kadar dan tidak melambangkan jati diri pasukan itu.

Naib Presiden KFA, Radhi Mat Din turut mengesahkan Sanusi ada luahkan hasrat untuk letak jawatan dan berharap menteri besar Kedah itu dapat mempertimbangkan semula hasrat itu.

“Difahamkan, beliau meluahkan hasrat meletak jawatan demi memberi laluan kepada pihak lain yang dirasakan lebih berkelayakan tetapi pada saya, beliau adalah individu paling layak untuk menerajui pasukan.

“Sebagai Menteri Besar Kedah, beliau satu-satunya individu yang memiliki keupayaan dan kuasa menyelesaikan kemelut KFA,” katanya kepada Sinar Harian

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Kedah di sini:

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat

Kenyataan ‘Ikut Dan’ Presiden KFA Cetus Kecaman Penyokong Kedah, Aidil Sharin Akan Sertai Perak?