Menteri Besar Kedah dan juga Presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim selepas pasukan itu muncul juara saingan Piala FA edisi musim ini.

Menerusi laman media sosial rasmi miliknya, Datuk Seri Sanusi mengucapkan tahniah namun Menteri Besar itu turut memberikan kata-kata tersirat dalam ucapan tahniah beliau.

“Tahniah Johor Darul Ta’zim (JDT) menang Piala FA. Sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” katanya.

Datuk Seri Sanusi Md Nor dan pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) sememangnya terlibat dalam beberapa konflik sebelum ini dimana kedua-dua pihak saling melontarkan kritikan terhadap satu sama lain.

Selepas perlawanan akhir menentang Terengganu pada Sabtu lalu yang menyaksikan JDT menang dengan keputusan 3-1, salah seorang penyerang import pasukan iaitu Fernando Forestieri tidak melepaskan peluang untuk troll Datuk Seri Sanusi.

Forestieri menggunakan laman media sosial Instagram miliknya dimana beliau memuat naik gambar dan turut menyertakan nama Datuk Seri Sanusi dalam gambar tersebut.

“Kemenangan ini untuk sahabat saya iaitu Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan anda dan selamat menikmati piala yang telah dimenangi,” kata Forestieri.

Sanusi Md Nor
Sumber Gambar: Instagram Fernando Forestieri

Sebelum perlawanan akhir, Datuk Seri Sanusi berkata beliau menyokong Terengganu pada perlawanan akhir edisi kali ini kerana isterinya berasal dari Terengganu.

“Sudah tentu Terengganu. Sebab saya sokong Terengganu (adalah) isteri saya orang Terengganu, buat masa ini saya belum kahwin dengan orang Johor lagi.

“(Kalau Terengganu kalah) saya terima dengan berlapang dada, biasanya orang macam saya sentiasa menyokong pasukan yang dilihat ‘underdog’ dan (saya yakin) semua sokongan rakyat Malaysia akan pergi kepada Terengganu, kalau tak percaya, tunggulah,” katanya.