Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), YAB Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah, semalam mengadakan perjumpaan bersama para pemain pasukan itu untuk memberikan penerangan mengenai situasi-situasi yang berlaku di dalam KFA, khususnya melibatkan aspek kewangan.

Malah, para pemain dan pegawai skuad Helang Merah kini boleh menarik nafas lega apabila gaji mereka untuk bulan Julai telah dibayar sebagai usaha awal menandakan komitmen KFA.

Bagaimanapun, tunggakan gaji pada bulan sebelumnya (ketika Presiden terdahulu) akan dilunaskan secara beransur-ansur melalui rundingan antara pihak pengurusan dan pasukan manakala gaji ketika tempoh PKP (April-Jun) akan dirunding bersama pemain seperti saranan FAM.

Sanusi juga turut memberi jaminan tiada lagi tunggakan gaji akan berlaku selepas ini kerana beliau sudah menemui jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa semua ini dapat diselesaikan pada musim ini juga, kerana saya tidak akan keluar musim ini dengan mengheret hutang.

“Tidak akan ada tunggakan gaji lagi di masa akan datang kerana saya sudah menemui jalan penyelesaian untuk mengatasinya, In Shaa Allah. Saya menghargai kesabaran pasukan ketika berhadapan situasi tersebut,” katanya.

Kenyataan daripada Sanusi itu mendapat reaksi positif daripada ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar sekaligus membangkitkan semangat rakan sepasukannya untuk menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan yang akan datang.

“Saya mewakili seluruh pasukan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Presiden KFA di atas suntikan semangat baru yang diberikan menjelang perlawanan yang akan datang,” ujar Baddrol.

Baca artikel lain mengenai perkembangan isu tunggakan gaji Kedah yang pernah dilaporkan sebelum ini melalui pautan dibawah. 

Presiden KFA: “Saya Tak Akan Guna Duit Rakyat Bayar Tunggakan Gaji Pemain Kedah”

‘Insta Story’ Kpah Sherman Dan Aidil Sharin Beri ‘Hint’ Kuat Kedah FA Ada Masalah Kewangan Yang Nazak?

Pemain Kedah Baru Terima 50 Peratus Gaji Februari, Mac Dan April Masih Tertunggak

Asmirul Anuar Umum Peruntukan RM2 Juta Untuk Langsaikan Tunggakan Gaji Pemain Kedah