Pasukan Terengganu FC akhirnya mempunyai pemain yang disenaraikan dalam skuad kebangsaan apabila pemain tengah import mereka, Sanjar Shaakhmedov dipanggil bagi menyertai pasukan kebangsaan Uzbekistan menjelang saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula September ini.

Sanjar menjadi salah satu pemain import yang tampil konsisten bersama TFC khususnya dalam saingan Liga Super musim ini dimana beliau menjadi penjaring terbanyak pasukan dalam semua saingan dengan catatan 13 gol.

Meskipun bermula perlahan ketika beraksi di bawah bimbingan Irfan Bakti kerana kekangan bahasa, namun Sanjar berjaya bangkit apabila Nafuzi Zain diberi mandat sebagai pengendali sementara pasukan bagi menggantikan Irfan yang meletakkan jawatan.

Sebelum ini, pemain berusia 28 tahun itu pernah beberapa kali dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan Uzbekistan. Ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2028, Sanjar disenaraikan dalam pasukan utama namun beliau hanya diletakkan di bangku bangku simpanan dalam 8 perlawanan kelayakan yang diharungi.

Kali ini, dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh bekas pemain Lokomotiv Tashkent itu dalam saingan Liga Malaysia, tidak mustahil Sanjar Shaakhmedov akan tampil buat kali pertama dalam kesebelasan pasukan yang dibimbing oleh bekas pengurus Inter Milan, Héctor Cúper.

Sanjar Shaakhmedov
Sanjar Shaakhmedov
Sumber Gambar: Terengganu FC

Bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Uzbekistan diundi dalam kumpulan D bersama Palestine, Arab Saudi, Singapura dan Yaman. The White Wolves akan memulakan kempen kelayakan menentang Palestine di kandang lawan pada 5 September ini sebelum turun menentang Yaman di laman sendiri.

Pada kempen kelayakan bagi temasya Piala Dunia 2018 lalu, Uzbekistan berjaya melangkah ke pusingan ketiga namun mereka terpaksa akur apabila menamatkan saingan dalam kumpulan A di tangga ke-4. Iran dan Korea Selatan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir apabila menghuni dua tangga teratas kumpulan.