Seorang ahli perniagaan menawarkan diri untuk menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan bersedia untuk membelanjakan RM8 Juta bagi menyelesaikan hutang yang dihadapi oleh persatuan itu.

Datuk Seri Amril Aiman Ab. Aziz yang berusia 31 tahun menegaskan perkara tersebut akan menjadi kenyataan sekiranya Bibi Ramjani melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak hujung 2017 itu dengan segera.

Amril Aiman Abdul Aziz
Sumber Gambar: Sinar Harian

Menurut Amril, jumlah hutang yang ditanggung oleh KAFA berpotensi untuk meningkat sekitar RM15 hingga RM20 juta bagi tahun 2020 yang merangkumi projek pembangunan bola sepak Kelantan di peringkat akar umbi. Jika diberikan tanggungjawab sebagai presiden, beliau mahu memperkemaskan kewangan persatuan terlebih dahulu.

“Untuk tahun ini, saya akan kukuhkan terlebih dahulu kewangan pasukan. Tahun 2020 kita akan perkemaskan pasukan untuk kembali semula ke Liga Super 2021,” katanya menurut laporan Utusan.

Sebelum ini, Bibi Ramjani memberi amaran kepada mana-mana pengganti beliau agar mempunyai sumber kewangan yang kukuh jika mahu menerajui KAFA. Bibi dikatakan mahu memeriksa kewangan Amril bagi memastikan sama ada beliau layak atau sebaliknya.

presiden-bibi-ramjani
Sumber Gambar: Stadium Astro

Amril menyifatkan syarat Bibi Ramjani untuk melihat kekuatan kewangannya adalah tindakan yang disifatkan tidak wajar.