Pemain yang baharu sahaja mendapat taraf Warga Negara Indonesia (WNI), Sandy Walsh mengakui sudah tiba masanya buat negara tersebut menjuarai Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Seperti diketahui, Indonesia masih belum pernah mendakap trofi kejohanan yang mula dipertandingkan pada tahun 1996 itu meskipun berupaya layak ke perlawanan akhir sebanyak enam kali.

Kali terakhir skuad Garuda itu beraksi di pentas final adalah pada edisi tahun lalu dimana mereka tunduk kepada Thailand 6-2 secara agregat.

Susulan dengan keadaan itu, Walsh yang beraksi bersama kelab Belgium, KV Mechelen melihat ini adalah peluang terbaik buat Indonesia untuk mengakhiri penantian panjang tersebut.

“Menjuarai kejohanan akan sentiasa menjadi sasaran. Di setiap pertandingan anda sudah tentunya ingin berada di kedudukan yang sebaik mungkin.”

“Pada tahun lalu pasukan [Indonesia] telah melayakkan diri ke perlawanan akhir dan itu merupakan satu detik yang amat bermakna buat pasukan.”

“Tetapi sekarang sudah tiba masanya untuk kami menjadi juara kejohanan tersebut,” ujar Sandy Walsh menurut sumber laporan Goal Indonesia.

“Sudah lama saya menunggu saat ini, secara rasminya dapat menyertai pasukan [Indonesia]. Saya hanya pernah bersama pasukan buat seketika di Bandung.

“Tetapi hari ini [kelmarin] bergelar pemain Indonesia. Ia merupakan satu perasaan yang luar biasa dan saya agak senang untuk menjalani sesi latihan hari pertama.

Piala AFF 2022 menyaksikan Indonesia telah diundi bersama-sama Thailand, Filipina, Kemboja dan Brunei dalam kumpulan A.