Penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville percaya rakan sepasukannya, Khairulazhan Khalid akan kembali bangkit untuk terus membantu pasukan pada aksi-aksi akan datang.

Somerville diberi kepercayaan buat kali pertama pada musim ini beraksi dalam kesebelasan utama di pentas Liga Super menentang Sabah FC, Selasa lalu selepas persembahan kurang memuaskan daripada Khairulazhan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun, bekas penjaga gol Penang FC ini tetap memberi sokongan kepada rakan sepasukannya itu untuk tidak berputus asa dan percaya percaturan pengendali, Michael Feichtenbeiner dalam memberi peluang kepada dua penjaga gol ini untuk beraksi dalam perlawanan akan datang.

Jelasnya, persaingan yang sihat tetap ada antaranya dan Khairulazhan dalam memburu tempat selaku penjaga gol utama dan menganggap rakannya itu akan terus memberikan yang terbaik tidak kira siapa pun yang menjadi pilihan jurulatih.

“Saya rasa selepas apa yang berlaku ketika lawan JDT, kita tetap dapat sokongan daripada kelab, pemain lain dan juga penyokong.

“Tetapi benda paling penting dalam bola sepak adalah kita tidak pernah terlepas dalam membuat kesilapan.

“Dan untuk itu, saya percaya dia (Khairulazhan) akan kembali bangkit dan dia juga sudah membantu dalam perlawanan-perlawanan lepas.

Kredit Foto: Selangor FC

“Jadi saya harap anda semua akan terus positif dengan kami dan akan tetap memberi sokongan kepada pasukan ini,” jelasnya.

Walaubagaimanapun, Somerville tidak menolak rasa kecewa apabila mereka tidak memperoleh kemenangan ketika berdepan Sabah apabila seri 1-1.

Nyata, ia belum cukup memuaskan apatah lagi pada penampilan kali pertamanya di pentas Liga Super dan tekad ingin bekerja lebih keras dalam memberikan yang terbaik.

“Saya sangat kecewa sebenarnya apabila kita tidak menang tetapi dalam masa sama rasa teruja kerana dapat bermain untuk kali pertama dalam saingan liga.

“Sudah tentu saya sentiasa ada rasa untuk beraksi sebab saya datang ke Selangor adalah untuk bermain buat pasukan ini.

“Tetapi apa-apa pun selepas ini semuanya terserah kepada jurulatih dan saya percaya perancangan beliau”, tambahnya.

Dengan keputusan seri pada Selasa lalu meletakkan Selangor kini berada di tangga keenam Liga Super dengan 12 mata.