Pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Samuel Somerville sah menjadi milik Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) apabila diumumkan sebagai penjaga gol baharu untuk musim 2022.

Mesra dengan panggilan Sam, nama beliau mula menjadi bualan peminat bola sepak tempatan apabila menjadi salah seorang tonggak utama yang membantu pasukan Penang FC menjuarai Liga Premier 2020 sekaligus layak ke Liga Super musim 2021.

Beliau kemudian berjaya mendapatkan panggilan kebangsaan pertamanya bersama Harimau Malaya pada bulan Mei 2021 susulan aksi yang mengagumkan bersama kelabnya dalam saingan Liga Super musim tersebut.

Sam melihat Selangor FC merupakan destinasi seterusnya untuk beliau mencapai kejayaan bersama untuk musim 2022.

“Apabila anda bercakap tentang bola sepak di Malaysia, saya rasa Selangor FC merupakan antara pasukan pertama yang akan disebut.

“Jadi, saya faham betapa besarnya makna bermain untuk kelab ini. Saya tahu Selangor FC mempunyai cita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan musim hadapan dan ianya sama seperti apa yang saya mahukan.

“Kami mahu mencapai kemenangan bersama,” katanya dalam laman web rasmi.

Kemasukan pemain yang berusia 27 tahun itu dilihat bakal menjadi pencabar utama kepada penjaga gol utama Selangor ketika ini iaitu Khairul Azhan.

Selangor turut mempunyai dua penjaga gol yang pernah beraksi bersama skuad B-19 tahun negara seperti Sikh Izhan Nazrel dan Firdaus Irman yang banyak beraksi bersama skuad pembangunan dalam saingan Liga Premier.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Tempatan melalui pautan dibawah.ย 

‘Kante Ganu’ Sah Sertai Kedah Darul Aman

Hakka Clo Plt Pembekal Rasmi Kelengkapan Sukan Sri Pahang Dengan Nilai Tajaan RM1.13 Juta

Syafiq Ahmad Akan Dipinjamkan Ke Kelab Lain Untuk Dapatkan Lebih Banyak Minit Permainan

Syazwan Andik Dan Fadhli Shas Sah Sertai Melaka United