Pasukan PKNP FC gagal untuk keluar dari zon penyingkiran apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ketika menerima kunjungan PKNS FC di Manjung pada perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung semalam.

Sebelum perlawanan menentang PKNS, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim berada di tangga ke-11 dan mereka perlu mencipta kemenangan bagi melonjak ke tangga ke-10 yang ketika ini dihuni oleh pasukan Kuala Lumpur.

PKNP pada mulanya ketinggalan apabila R.Surendran membuka tirai jaringan pada minit ke-34. PKNP hanya menampilkan kebangkitan pada separuh masa kedua apabila ketua pasukan, Hafiz Ramdan berjaya menjaringkan gol menarik menerusi satu sepakan penjuru yang terus menerjah gawang PKNS FC.

Penyerang import tinggi lampai, Giancarlo Rodrigues meletakkan PKNP di hadapan apabila beliau menanduk masuk bola hantaran lintang daripada Ibni Khozaimi pada minit ke-76. Namun, hasrat PKNP untuk meraih tiga mata penuh tidak kesampaian apabila Kpah Sherman menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-84.

Keputusan seri yang diraih semalam membuatkan PKNP kekal menduduki tangga ke-11 dengan kutipan 14 mata, sama dengan pasukan Kuala Lumpur namun The City Boys menduduki tangga ke-10 kerana perbezaan jaringan. Felda United pula menduduki tangga tercorot dengan kutipan 12 mata.

Berbaki empat perlawanan Liga, PKNP FC dan seorang lagi kelab, Felda United perlu segera kembali meraih kemenangan jika mereka mahu mengekalkan status Liga Super untuk satu lagi musim.