Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini secara rasmi mengumumkan pembatalan dua pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim 2020 susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Turut dibatalkan ialah Malaysia Premier Futsal League (MPFL) yang melibatkan 12 pasukan yang bertanding.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula pada 18 Mac 2020 kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan, bola sepak telah dikategorikan sebagai sukan bersentuhan yang dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti riadah dengan penjarakan sosial satu meter dan tidak melebihi 10 individu.

Namun, sebarang penganjuran perlawanan atau pertandingan masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini.

“Terdapat sesetengah pasukan dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan padang terbuka sebagai venue mereka selaku tuan rumah, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengawal pematuhan SOP penganjuran perlawanan.

“Begitu juga bagi pertandingan MPFL yang mana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) dilarang oleh MKN, sekali gus bakal menyebabkan beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam mendapatkan kelulusan bagi SOP pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan,” kata kenyataan daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

UAE
Sumber Gambar: FAM

Keputusan ini dibuat selepas FAM melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan dan SOP serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama berkaitan penganjuran perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia di padang terbuka serta larangan aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) yang mana ia melibatkan perlawanan MPFL.

Bagi memastikan pemain-pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2020 yang berpotensi dapat diserapkan ke pasukan utama kelab mereka, FAM dan Malaysian Football League (MFL) akan membuka pendaftaran khas untuk pemain-pemain ini mendapat peluang beraksi pada baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2020 tanpa sebarang had pendaftaran.

Bagaimanapun, pemain-pemain yang berusia 21 tahun pada tahun 2020 ini masih boleh beraksi pada tahun depan kerana had umur pertandingan Piala Presiden 2021 akan dinaikan kepada usia 22 tahun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah. 

Pasukan Liga Malaysia Dilarang Mengadakan Sesi Latihan Tanpa Kelulusan MKN

COVID-19: SOP Liga Korea Lebih Realistik Dan Sesuai Dengan Liga Malaysia

Anak Rivaldo, Rivaldinho Tertarik Untuk Beraksi Di Liga Malaysia