Hari ini saingan Piala Malaysia 2021 kembali bersambung setelah direhatkan hampir sebulan untuk memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan juga Kelayakan Piala Asia B-23.

Namun begitu, sepanjang tempoh rehat tersebut, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan penarikan diri pasukan Negeri Sembilan daripada Piala Malaysia apabila wabak COVID-19 dilaporkan menyerang pasukan tersebut.

Menurut pengumuman yang dilakukan laman sosial rasmi kelab tersebut, seramai empat pegawai pasukan dan 20 orang pemain telah dijangkiti wabak berbahaya itu sekaligus terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan berprestij itu.

MFL mengumumkan semua perlawanan membabitkan pasukan Negeri Sembilan dalam kempen Piala Malaysia 2021 secara automatik telah diberikan kemenangan 3-0 kepada pasukan lawan bermula aksi ketiga dalam saingan Kumpulan C yang dihuni oleh Melaka United, Kedah dan Kelantan United.

Bagaimanapun, perkembangan itu dijangka tidak jejaskan kemeriahan saingan Piala Malaysia apabila ribuan penyokong kembali memenuhi stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan-pasukan masing-masing.

Setiap penyokong yang hadir ke stadium wajib lengkap dua dos suntikan vaksin dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

Bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3; 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) dan Fasa 4; 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.

Antara SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap penyokong ialah memakai pelitup muka sepanjang perlawanan. Selain itu, tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium. Kanak-kanak bawah 18 tahun juga tidak dibenarkan masuk.

Para penyokong juga boleh mendapatkan tiket perlawanan melalui laman web tickethotline dan wajib membuat pendaftaran akaun untuk memudahkan urusan pembelian.

Setiap tiket yang dijual akan dibahagikan tempat duduk mengikut zon di dalam stadium yang telah ditetapkan dan dipisahkan dengan jarak 1.5 meter.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Kem Latihan Harimau Malaya Bermula Selepas Tamat Separuh Akhir Piala Malaysia

Jaringan Park Tae-Su ‘Mendunia’, Pakar Cadang Hantar Ke Puskas

KFA Akan Berunding Dengan LHDN Untuk Hapus Kira Tunggakan Cukai Tahun Lalu