Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kalendar Liga Malaysia kembali bersambung pada Julai depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, kempen Liga Premier 2021 bermula 3 Julai 2021 manakala tirai Liga Super 2021 kembali bersambung pada 24 Julai 2021.

Bagaimanapun, Dato’ Ab Ghani memberitahu bahawa beberapa pindaan jadual terpaksa dilakukan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) manakala Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) bersaing dalam kempen Piala AFC diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air.

Selain itu tarikh baharu perlawanan juga melibatkan dua perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini di antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC ekoran cuaca buruk dan Perak FC II menentang Kelantan FC disebabkan pemain-pemain Kelantan FC diarahkan untuk kuarantin selama 10 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat terdapat pemain mereka didapati positif Covid-19.

“Kedua-dua perlawanan tertunda itu akan dipinda pada tarikh baharu iaitu Perak II bertemu Kelantan FC di Stadium Ipoh Perak pada 29 Jun 2021 manakala Selangor 2 menentang Sarawak United bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun 2021.

“Selain daripada itu, pindaan jadual Liga Malaysia juga tidak dapat dielakkan selepas JDT yang akan mengharungi kempen ACL di Thailand dikehendaki kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air. Sementara KDA dan TFC yang akan beraksi dalam Piala AFC dijangka akan menjalani prosedur kuarantin yang sama namun sehingga kini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum menetapkan tarikh dan venue baharu bagi kejohanan berkenaan.

“Sebelum ini pasukan hanya dihendaki kuarantin selama tujuh hari sehaja selepas pulang dari luar negara tetapi KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menetapkan kuarantin selama 14 hari bagi mengelakkan sebarang pembawa virus baharu masuk ke dalam negara.

“Selain daripada itu, pasukan kebangsaan yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 turut menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara salah satu faktor jadual Liga Super dan Liga Premier dipinda,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani melahirkan kegusaran jadual masih akan dipinda sekiranya AFC membuat keputusan untuk meminda jadual AFC 2021 ke tarikh berlainan daripada jadual asal.

“Merujuk kepada kenyataan AFC bertarikh 27 Mei 2021, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah menarik diri sebagai hos Piala AFC 2021 akibat peningkatan penularan COVID-19 di negara berkenaan dan MFL telah dimaklumkan bahawa AFC akan memaklumkan venue baharu.

“Sekiranya pihak AFC membuat keputusan untuk meminda jadual Piala AFC 2021 yang melibatkan pasukan KDA dan TFC ke tarikh serta bulan yang berlainan dari jadual asal, ia dilihat akan memberi impak kepada penjadualan Liga Malaysia dan Piala Malaysia 2021.

“AFC melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John semalam mendedahkan pihaknya masih berusaha untuk mengintai penganjur baharu saingan Piala AFC. Ini kerana tiada mana-mana negara keberatan untuk menganjurkan kejohanan itu disebabkan kes pandemik COVID-19.

“Sementara itu, Jadual Liga Malaysia 2021 tidak boleh dipinda melebihi bulan November berikutan kebanyakan kontrak pemain dan pegawai hanya sah sehingga penghujung November 2021.

“MFL melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyatakan secara rasmi kepada AFC supaya sebarang pindaan bagi tuan rumah pertandingan tersebut hendaklah dibuat berlandaskan jadual asal bagi memastikan perangkaan penjadualan liga domestik tidak terjejas.

“Liga Super akan tetap bermula pada 24 dan 25 Julai 2021 berikutan penyertaan pasukan JDT dalam kejohanan ACL di Thailand mulai 21 Jun hingga 7 Julai 2021 (tiada usul penangguhan dari AFC setakat ini) dan pasukan JDT wajib menjalani Kuarantin 14 hari yang dikuatkuasakan oleh MKN.

“Jumlah perlawanan Piala Malaysia 2021 tidak dapat dikurangkan berikutan komitmen MFL terhadap penaja untuk melaksanakan perlawanan seperti perjanjian.

“Saya berharap pasukan-pasukan terus kekal fokus dan berdisiplin mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh pandemik COVID-19,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Darren Lok Tekad Bangkit Daripada Kecederaan Dialami

Shivan Pillay Dan George Attram Dipanggil Sertai Sesi Latihan Skuad Utama Selangor

Bryan See Ucap Terima Kasih Kepada PDRM