Persekutuan Bolasepak Belanda (KNVB) berhasrat untuk menamatkan saingan liga domestik negara itu (Liga Eredivisie) susulan keputusan kerajaan mengumumkan pengharaman perhimpunan besar dan acara sukan sehingga bulan September 2020 bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Ketika ini juara bertahan , Ajax menghuni kedudukan teratas dengan 56 mata bersama AZ Alkmaar tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh meneruskan saingan liga tanpa kehadiran penonton kerana ia memerlukan permit dan kebenaran daripada pihak polis.

“Jawatankuasa bola sepak profesional bercadang tidak mahu meneruskan pertandingan 2019/20. KNVB akan mendapat pandangan UEFA sebelum membuat keputusan.

“Tidak ada sebarang perlawanan sehingga 1 September,” menurut kenyataan rasmi daripada KNVB.

Liga utama Belanda dan divisyen dua digantung sejak 12 Mac. Kelab dan pemegang saham akan mengadakan mesyuarat melalui sidang video Jumaat ini untuk membincangan kesan daripada keputusan yang bakal diambil.

Mereka mempunyai baki lapan perlawanan di Eredivisie manakala Final Piala Belanda dijadualkan berlangsung pada 19 April.

Selain Liga Belanda, Belgium sebelum ini turut mengambil langkah membatalkan saingan liga mereka pada musim ini dengan mengumumkan Club Brugge sebagai juara berdasarkan kedudukan semasa. Namun, mereka dikatakan membuat pusingan U untuk membincangkan semula cadangan meneruskan baki perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak dunia melalui pautan dibawah.

Liga Turkmenistan Kembali Bersambung Minggu Ini Dengan Kehadiran Penonton

Liga Super China 2020 Akan Bermula Pada Bulan Julai