Terengganu FC II menganggap saingan Challenge Cup musim ini dijangka lebih mencabar jika dibandingkan laluan wakil Pantai Timur itu ketika menjadi juara edisi pertama tahun lalu.

Itulah yang diakui kapten TFC II, Hasbullah Awang selepas menyaksikan skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan diundi bersama finalis tahun lalu UKM FC, Selangor United dan Kuala Lumpur dalam saingan Kumpulan B.

Menurut Hasbullah, kehadiran pasukan-pasukan baharu seperti Kuala Lumpur dan Selangor United memberikan lagi cabaran buat TFC II dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

“Kejohanan kali ini sangat mencabar jika dibandingkan pada musim lalu kerana ada pasukan baharu membuat penampilan seperti Kuala Lumpur dan Selangor United.

“Tidak lupa juga kepada UKM FC dan walaupun kami telah banyak kali bertemu dengan UKM FC tetapi saya meramalkan UKM FC akan berjuang habis-habisan dalam kejohanan ini tetapi saya berharap TFC II dapat memberikan yang terbaik untuk mengekalkan trofi Challenge Cup,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih JDT II, Ervin Boban mengakui kejohanan Challenge Cup akan menjadi platform terbaik kebangkitan anak buahnya selepas penurunan prestasi di penghujung kempen Liga Premier yang menyaksikan mereka menduduki tangga kedua musim ini.

Ervin boban
Sumber Gambar: Stadium.my

Lebih tepat, Boban berharap kejayaan layak ke pentas final Challenge Cup 2019 dapat mengubati kekecewaan selepas menyaksikan JDT II diundi dengan Kelantan dan Sarawak dalam saingan Kumpulan A.

“Saya berharap kami dapat memberikan yang terbaik dan saya sedang mencari sebab mengapa prestasi kami sedikit menurun dalam beberapa perlawanan tetapi seperti saya katakan sebelum ini bola sepak itu aneh.

“Pada akhirnya, kami akan cuba sedaya upaya untuk layak ke pentas final Challenge Cup pada musim ini,” katanya.

Kejohanan Challenge Cup 2019 membuka tirai pada 6, 7 dan 8 Ogos disusuli dua aksi final yang bakal diadakan pada 6 dan 12 Oktober depan.